Kerusi Parlimen Titiwangsa pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), PKR dan PAS.

BN menampilkan penyandang kerusi itu yang juga Ketua Umno bahagian Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai calon.

PKR pula mempertaruhkan Ketua Wanita PPBM Rina Harun dan PAS mencalonkan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad yang membuat penampilan kali ketiga di kerusi itu.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Titiwangsa Asiah Husin mengumumkan nama calon-calon yang bertanding di pusat penamaan calon di Dewan Bestari Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di ibunegara hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lepas, Johari memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa dengan majoriti 866 iaitu 23034 undi, mengalahkan calon PAS Ahmad Zamri Khuzaimi yang mendapat 22168 undi.

Sementara itu, calon BN  kerusi Parlimen Wangsa Maju Datuk Seri Yeow Teong Look bakal berdepan saingan tiga penjuru daripada calon PKR dan PAS.

Pegawai Pengurus Pilihanraya Sulaiman Mohamed mengesahkan Yew yang juga Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan bakal berdepan dua lagi calon iaitu Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PKR) dan calon Razali Tumirin (PAS).

Suasana di pusat penamaan calon Wangsa Maju pagi ini sedikit kecoh apabila Tan terlupa membawa kad pengenalan asalnya menyebabkan beliau hampir tidak dapat menyerahkan borang pencalonan.

Masalah itu, bagaimanapun berjaya diselesaikan apabila suaminya membawa kad pengenalan asal Tan ke pusat pencalonan di Sekolah Menengah Kebangsaan Wangsa Melawati.

Parlimen Wangsa Maju mempunyai 88,482 pengundi berdaftar.

Yeow merupakan calon muka lama dan pernah memenangi kerusi Parlimen Wangsa Maju pada Pilihan Raya Umum ke-11 pada 2004.

- Bernama