PRU14 | Naib Presiden PKR Rafizi Ramli menggesa pengundi India khususnya di Parlimen Rembau menolak BN pada PRU ini, selepas mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sengaja menolak pencalonan S Streram di DUN Rantau.

Rantau merupakan salah satu daripada empat DUN dalam Parlimen Rembau.

"Tindakan tidak membenarkan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) mengemukakan borang pencalonan adalah tindakan bacul di pihak Datuk Seri Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin.

"saya percaya pengundi terutama pengundi India dapat menilai sendiri bagaimana BN sangat takut dengan kesatuan rakyat pelbagai kaum yang menuntut perubahan di Putrajaya.

"Saya menyeru pengundi India di Rembau untuk memberikan undi kepada calon HARAPAN Leftenan Kolonel (B) Roselli Abdul Ghani untuk menghukum Khairy dan BN," katanya dalam kenyataan.

Menurut Bernama, SPR mengisytiharkan Mohamad Hassan menang tanpa bertanding selepas Streram tidak dapat menghantar kertas pencalonan ekoran gagal membawa pas calon.

Penyokong dan pencadangnya juga tidak memiliki pas perakuan SPR. Maka ketiga-tiga mereka dihalang untuk memasuki pusat penamaan calon.

Rafizi menawarkan versi berbeza, apabila mendakwa pegawai pengurus pilihan raya sengaja melengah-lengahkan perkara itu sehingga tamat waktu pencalonan.

"Saya dimaklumkan oleh wakil HARAPAN bahawa pengarah SPR Negeri Sembilan telah mengarahkan pegawai membenarkan Streram mengemukan borang penamaan seawal pukul 9.30 pagi.

"Tetapi pegawai berkaan melengahkannya dan hanya membenarkan beliau masuk pada pukul 10.03 pagi...(pencalonan) tidak boleh diterima kerana telah melepasi tempoh waktu," dakwanya.

Beliau berkata Streram telah berkhidmat di DUN Rantau sejak dua tahun lalu.

Menurut Rafizi, DUN Rantau merupakan kerusi dengan pengundi India yang tinggi iaitu sebanyak 27 peratus dan mereka mampu menghukum BN pada PRU ini.

"Saya akan hadir ke Rembau Isnin ini untuk memastikan pengundi di Rembau menghukum Khairy Jamaluddin yang bersekongkol dengan Mohamad Hassan untuk menang percuma kerana takut bertarung," katanya lagi.