Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tian janjikan taktik baru elak Batu jatuh ke BN
Diterbitkan:  Apr 28, 2018 1:26 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

PRU14 | Bukan kecewa tetapi marah - itu yang dirasakan Naib Presiden PKR Tian Chua apabila pencalonannya ditolak oleh pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Kata Tian apa yang berlaku ialah taktik yang digunakan BN untuk menafikan penyertaan PKR dalam saingan di kawasan parlimen Batu, sekali gus mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak 2008 itu.

"Kita akan teruskan usaha, jangan kecewa.

"Saya tidak kecewa sama sekali. Kita berasa marah, kita rasa sedih tetapi itu bukan bermakna kita perlu menghentikan kerja-kerja yang dilakukan.

"Kita kena pastikan BN tidak dapat merampas Batu," katanya kepada penyokong yang berkumpul di depan pusat penamaan calon selepas dia disahkan oleh SPR tidak layak bertanding.

Naib Presiden PKR Tian Chua tidak dapat mempertahankan kerusi Parlimen Batu pada PRU ini selepas pegawai pengurus pilihan raya membatalkan kertas pencalonannya.

Terdahulu pegawai pengurus pilihan raya Anwar Mohd Zain membuat keputusan berkenaan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Mac lalu yang mengekalkan sabitan bersalah terhadap Tian atas tuduhan menghina kehormatan seorang anggota polis.

Taktik cukup kotor

Bagaimanapun untuk rekod hakim mengurangkan hukuman denda ke atas Tian kepada RM2,000.

Keputusan Anwar bertentangan dengan pegawai pengurus pilihan raya pada PRU 2013 yang membenarkan dia bertanding walaupun ketika itu beliau disabitkan bersalah untuk satu kes mahkamah lain dan juga dikenakan denda RM2,000.

Batu adalah kerusi milik BN yang diwakili Gerakan dan gagal ditawan pembangkang sehinggalah pada PRU ke-12 pada 2008. Tian mengalahkan anak presiden Gerakan, Lim Si Pin, dengan majoriti 9,455 undi.

Kata Tian pegawai pengurus pilihan raya membuat keputusan apa yang ditetapkan SPR sebelum ini tidak terpakai pada PRU ke-14.

"Beliau telah membuat satu tindakan yang sebenarnya menghina mahkamah.

"Mahkamah Tinggi Shah Slam menyatakan secara jelas, (denda) RM2,000 ini tidak menghilang kelayakan, tapi tadi pegawai SPR membuat keputusan dengan kuasa yang diadakan oleh dia sendiri bahawa dia tidak menerima pencalonan saya.

"Ini teknik yang cukup kotor.

"Nampaknya BN cukup takut dalam PRU kali ini, mereka akan guna apa juga alasan untuk mengurangkan peluang kemenangan Pakatan Harapan," katanya.

Tian juga menegaskan dia akan berbincang dengan pimppinan PKR untuk menentukan langkah selanjutnya bakal diambil dalam tempoh terdekat.

"Saya harap kita tetap berkumpul di Batu untuk teruskan gerak kerja kita.

"Kita akan beri arahan baru dalam masa terdekat supaya kita tukar taktik untuk pastikan Batu tidak akan jatuh di tangan BN," katanya.

Lihat Komen
ADS