PRU14 |  Di atas kertas, nampaknya Tun Dr Mahathir Mohamad sudah menang di Langkawi.

Jumlah penyokong yang mengiringi pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) jauh melebihi lawannya - masing-masing dari BN dan PAS.

Berdasarkan pemerhatian sederhana Malaysiakini, ada lebih 2,000 orang berarak serta bersorak untuk Dr Mahathir. Di sisi lain calon BN Datuk Ir Nawawi Ahmad disertai kira-kira 1,000 penyokong.

Seorang lagi calon ialah Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad, yang diiringi penyokong dalam jumlah separuh daripada penyokong Nawawi.

Semuanya kemudian berkumpul di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi yang menjadi pusat penamaan calon untuk kerusi Langkawi.

Menyertai Dr Mahathir itu pula antaranya orang yang dikenali umum. Misalnya bekas pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd yang kini menyertai BERSATU, Datuk A Kadir Jasin, peguam Haniff Khatri Abdulla serta adik timbalan presiden PKR, Ummi Hafilda Ali.

Bersama Nawawi juga ada wajah yang dikenali. Antaranya bekas naib pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

Ditanya mengenai peluangnya di Langkawi, Dr Mahathir yang diumum menjadi calon perdana menteri untuk HARAPAN menjawab ringkas: "Rasa OK, ya (yakin menang)."

Sementara Nawawi yang sebelum ini beberapa kali menarik perhatian ramai kerana idea uniknya kelihatan tidak panik dengan jumlah penyokong mengikut Dr Mahathir.

Katanya bukan semua orang yang menyertai Dr Mahathir tadi adalah penduduk tempatan, sebaliknya ada orang luar dari pulau pelancongan berkenaan.

Buktinya - menurut Nawawi dia sendiri sukar mendapatkan bilik hotel di Langkawi kerana habis ditempah pengunjung dari luar.

"Penyokong import (dibawa masuk dari luar) ni biasa, mereka bukan boleh mengundi tapi datang untuk support saja, sedangkan kami kenal mak cik pak cik dalam kampung.

"Kita (Umno) bergelumang dengan mereka dalam kampung, kita tahu taraf sokongan mereka di mana,” katanya.

Langkawi adalah salah satu kubu kuat buat Umno sejak sekian lama dan tidak pernah dimenangi oleh mana-mana parti lain.

Bagaimanapun nama Dr Mahathir sangat signifikan di Langkawi kerana sumbangannya sangat banyak memajukan pulau legenda Mahsuri itu, terutama dari segi pelancongan.

Kira-kira jam 11.45 pagi pengawai pengurus pilihan raya Muhammad Arof Darus mengumumkan secara rasmi senarai calon yang bertanding pada 9 Mei ini.

P004 Langkawi:

  • Zubir Ahmad (PAS)
  • Dr Mahathir Mohamad (HARAPAN)
  • Nawawi Ahmad


N01: Ayer Hangat

  • Azlina Azinan (PAS)
  • Datuk Mohd Rawi Abd Hamid (BN)
  • Johari Bulat (HARAPAN)

N02: Kuah

  • Nor Saidi Nanyan (BN)
  • Mazlan Ahmad (PAS)
  • Mohamad Ratu Mansor (Bebas)
  • Mohd Firdaus Ahmad (HARAPAN)