IGP: Calon boleh berkempen luar kawasan
PRU14 | Ketua Polis Tan Sri Mohd Fuzi Harun menafikan dakwaan berhubung pengenalan undang-undang baru menghalang calon pilihan raya umum (PRU) ke-14 dari berkempen di luar kawasannya.
Mohd Fuzi menjelaskan bahawa hanya calon yang bertanding atau ejen di kawasan pengundiannya yang dibenarkan memohon kebenaran mengadakan program ceramah mengikut Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Dalam kenyataan hari ini, Mohd Fuzi berkata tiada masa ditetapkan bagi permohonan itu dibuat.
Mohd Fuzi turut menambah calon atau ejennya boleh menjemput sesiapa saja sebagai penceramah namun perlu ada dinyatakan pada permit yang diluluskan mengikut tarikh dan tempat program.
"Bagaimanapun, mana-mana pihak yang mahu mengadakan himpunan, perlu memberi notis seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya.
Mohd Fuzi menambah notis itu perlu diberi dalam tempoh 10 hari sebelum himpunan dibuat.
"Dakwaan bahawa ada undang-undang baru bagi menghalang calon yang bertanding memberi ceramah di luar kawasannya adalah tidak benar.
"Ini selaras dengan Seksyen 24B (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya, yang memberi peluang kepada mereka untuk berkempen di mana-mana kawasan selagi nama mereka tersenarai pada permit yang telah diluluskan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Perak Hasnan Hassan dipetik sebagai berkata bahawa calon yang ingin berkempen di kawasan lain perlu menyerahkan notis 10 hari sebelum program seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 9(1) AKta Perhimpunan Aman 2012.
Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sama ada polis mempunyai kuasa mewajibkan nosti 10 hari itu.

