Puad: Titah Sultan Johor agar saya tak bertanding bebas
PRU14 I Ketua bahagian Umno Batu Pahat, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata Sultan Johor Ibrahim Sultan Iskandar yang menitahkan beliau agar tidak bertanding sebagai calon bebas di kerusi parlimen berkenaan.
"Sebagai bangsa Johor, saya akhirnya mengambil keputusan tidak bertanding atas tiket bebas setelah mendapat nasihat daripada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor.
"Sebagai rakyat Johor yang setia kepada rajanya saya patuh kepada titah tuanku Sultan Johor kerana saya yakin sudah tentulah tuanku memberikan nasihat itu atas kepentingan “bangsa Johor," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beiau dalam pada itu mengambil kesempatan menjunjung kasih terhadap tuanku Sultan Johor di atas keperihatinan, tunjuk ajar dan nasihat beginda.
Puad bagaimanapun enggan mengulas lanjut apabila ditanya apakah beliau telah dipanggil ke istana atau menerima panggilan daripada Sultan Ibrahim.
Awal hari ini Puad berkata beliau tetap tidak peduli apa pun yang diperkatakan orang dan sudah membuat keputusan muktamad untuk tidak bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Baca: Puad tetap tabah walaupun diketawa orang
Ketika semua mata tertumpu di pusat-pusat penamaan calon seluruh negara, Puad menghadiri majlis persandingan anak perempuannya di sebelah pihak keluarga lelaki di Bandar Baru Uda hari ini
Beliau sebelum ini mengatakan akan melawan sistem yang rosak dilakukan oleh para pemimpin yang didakwanya tidak bertanggungjawab.
Puad: Muafakat Johor Khaled umpama sampah
Pemimpin berusia 61 tahun itu digugurkan sebagai calon BN di kerusi Batu Pahat, hanya 24 jam sebelum senarai calon BN Johor diumumkan.
Beliau mendakwa Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengamalkan kronisme dalam memilih calon.
Selepas tidak dinamakan sebagai calon, Puad juga meletakkan jawatan sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).
Pada pilihan raya umum lalu, Puad tewas di kerusi Batu Pahat kepada Mohd Idris Jusi dari PKR dengan majoriti 1,732 undi.

