Terjemahan Malaysia tidak berniat untuk untuk campurtangan dalam hal-ehwal dalam negeri Thailand dan hanya akan berbincang mengenai isu wilayah selatan negara itu jika diminta berbuat demikian, kata Timbalan Menteri Luar, Joseph Salang.

"Saya percaya kerajaan Thai faham bahawa kita tidak mahu mengambil sebarang inisiatif (ke arah itu) kerana Malaysia tetap berpegang teguh kepada pendiriannya itu. Terpulanglah kepada Thailand untuk membina kepercayaan, (dan bukannya) merasa ragu-ragu dan curiga," katanya kepada pemberita di Kuala Lumur selepas merasmikan Hari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Ditanya seterusnya sama ada Malaysia akan mengambil inisiatif ke arah itu, sambil tersenyum beliau berkata: "Anda bagi tahu saya apa yang kami perlu lakukan untuk memulakan inisiatif ini...kita berpegang kepada apa yang kita telah katakan. Kita tidak pernah mahu melakukan sesuatu yang tidak disenangi jiran-jiran kita."

Katanya, Malaysia mengalu-alukan kenyataan Menteri Luar Thailand, Kantathi Suphamongkhon semalam yang mengharapkan agar hubungan antara kedua-dua negara dapat dibaiki.

"Kita mengalu-alukan kenyataannya itu. Seperti yang kita sedari, Malaysia sentiasa berusaha sebaik mungkin untuk menjalin hubungan persahabatan yang mesra derngan semua pihak, terutama dengan jiran-jiran kita. Kita tidak pernah campurtangan dalam hal-ehwal dalaman negara lain.

"Jika ada sebarang perkara yang menjadi kemusykilan, mereka boleh gunakan saluran dilomatik (bukannya membuat) kenyataan menerusi media," tambahnya.

Hubungan tegang

Semalam, akhbar berbahasa Inggeris Thailand, The Nation semalam memetik Kantathi sebagai berkata yang menganggap 'episod dengan Malaysia' telah 'berlalu'. Ini bercanggah dengan kenyataannya Rabu lalu, di mana beliau memberitahu pemberita, yang "beliau sudah berhenti bercakap dengan Malaysia".

Hubungan kedua negara tegang apabila Malaysia memberi perlindungan kepada 131 rakyat Thailand yang lari ke Kelantan hujung Ogos lalu untuk mendapatkan perlindungan politik ekoran ketegangan yang memuncak di wilayah selatan negara itu.

Thailand menjadi berang apabila Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar membuat kenyataan bahawa rakyat Thailand itu hanya akan dihantar balik jika keselamatan mereka tidak terancam.

Bagaimanapun langkah memulihkan hubungan dilakukan oleh Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra minggu lalu apabila beliau menghantar timbalannya Surakiart Sathirathai menghadiri pengkebumian isteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, allahyarham Endon Mahmood di Putrajaya.

Hari ini Ketua Perisikan Thailand, Lentenan General Chayasit Linthong berada di negara ini untuk berbincang dengan para pegawai Malaysia dan rakyat Thailand itu yang kini ditahan di Terengganu.

Sementara itu, di majlis tersebut, Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia, Dr Raj Karim (foto) menerima Anugerah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia sebagai menghargai sumbangannya dalam memperjuangkan isu-isu kesihatan wanita dan kanak-kanak.

Dr Raj, yang juga pengarah di Persekutuan Keibubapaan Terancang Antarabangsa bagi Wilayah Asia Tenggara dan Oceania, merupakan wanita pertama dari Malaysia yang menerima anugerah tersebut./ Berita asal