Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemimpin tertinggi AMANAH setuju lawan WARISAN di Sabah

PRU14 I Kepimpinan tertinggi Parti Amanah Negara (AMANAH) mengesahkan keputusan untuk menentang Parti Warisan Sabah (WARISAN) di kerusi Batu Sapi dan Merotai di negeri itu.

Pengerusi AMANAH Sabah, Hamzah Abdullah berkata persetujuan dicapai semasa mesyuarat yang diadakan di kalangan kepimpinan tertinggi parti itu pada Rabu di Kuala Lumpur.

"Kami buat keputusan sebulat suara bahawa AMANAH harus bertanding dalam keadaan untuk memberikan penghormatan kepada (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sebagai pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN).

"Kami memberi surat kepada Mahathir bahawa AMANAH hanya akan bertanding di Batu Sapi dan Merotai.

"Salinan surat itu dikemukakan kepada Presiden (WARISAN) Mohd Shafie Apdal, yang diserahkan semalam menerusi pemimpin pemuda AMANAH Sabah dengan harapan dapat memikirkan semula calon WARISAN," katanya kepada Malaysiakini.

Keputusan itu, katanya, telah dibincangkan dengan panjang lebar untuk "memastikan semua orang harus diberi bahagian yang sama di Sabah".

Pada majlis pengumuman calon WARISAN semalam, Shafie mengumumkan Liew Vui Keong sebagai calon parti itu di Batu Sapi dan Sarifuddin Hata sebagai calon untuk kerusi Merotai.

Hamzah hari ini, menghantar borang pencalonannya bagi Batu Sapi dan akan menghadapi Liew dalam pertarungan empat penjuru, manakala Arbaani Akum dari AMANAH akan berdepan enam calon lain di Merotai.

Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub mengesahkan parti itu memaklumkan kepada Mahathir mengenai keputusan untuk bertanding di kerusi tersebut.

"AMANAH tak langgar sefahaman dalam HARAPAN. HARAPAN bersetuju AMANAH ambil dua parlimen, dua DUN.

"Setelah cuba berunding, tak ada kata sepakat pihak WARISAN, jadi kita putuskan satu parlimen, satu DUN untuk tunjukkan tahap toleransi kita," katanya.

'Tak boleh salahkan WARISAN'

Walaupun memutuskan untuk tidak bertanding di Kalabakan dan Bugaya, Salahuddin berkata WARISAN tidak bersetuju untuk membenarkan AMANAH bertanding di Batu Sapi dan Merotai.

"Jadi saya fikir bagi masa depan AMANAH di Sabah, wajar AMANAH bertanding satu kerusi DUN, satu kerusi parlimen.

"Kita melalui semua proses, tak adalah nak suka-suka bertanding, jadi stubborn boy untuk (tetap) nak bertanding juga

"Kita mintak satu saja, sampai satu tahap, bertanding atas nama WARISAN untuk Hamzah pun dia tak nak. Kita pun tak bolehlah nak salahkan WARISAN, sebab WARISAN tak ada dalam HARAPAN," katanya.

Salahuddin juga menyatakan keyakinan terhadap Hamzah dan menegaskan pemimpin berkenaan dikenali di Sabah.

Bahkan Hamzah katanya hanya tewas kira-kira 3,000 undi berbanding calon BN ketika bertanding di bawah tiket PAS pada pilihan raya umum lalu.

Sementara itu, Hamzah berkata beliau telah menghubungi wakil presiden WARISAN, Darell Leiking pada 7 April untuk mengadakan rundingan.

"Saya berjaya hubunginya melalui telefon, dia hantar SMS kepada saya dan kata akan menghubungi saya kemudian. Saya masih simpan mesej itu. Saya tunggu selama dua minggu, dia tidak pernah menghubungi saya."

Hamzah juga berkata beliau tidak menyesal untuk bertanding di kerusi Batu Sapi.

"Saya beri pilihan kepada rakyat, jika mereka letakkan calon tempatan di Batu Sapi, kami akan tarik balik (pencalonan) tetapi siapa Liew?" soalnya.

Hamzah, awal bulan ini mengesahkan AMANAH tidak pernah menjadi sebahagian daripada perbincangan antara WARISAN, DAP dan PKR.

Naib Presiden WARISAN Junz Wong, bagaimanapun, berkata parti itu hanya berminat untuk bekerjasama dengan parti-parti yang berkaitan di negeri itu.

Lihat Komen
ADS