Nasib lepas PRU14: Ahmad Razif tak kisah
PRU14 | Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini menyatakan kesediaannya untuk tidak terus kekal sebagai menteri besar Terengganu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini.
Namun pada masa sama penyandang dan juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir itu berkata beliau tidak kisah siapa pun calon jika dipilih menggantikannya.
“Saya tak ada masalah dengan mana-mana calon (menteri besar) kerana bagi saya hari ini, saya diberi amanah dan saya akan jalankan. Tapi kalau dikata (oleh pucuk pimpinan) perlu diganti, saya akur.
“Kalau dikatakan saya diganti oleh orang lain sekali pun, sayalah orang yang paling kuat menyokong menteri besar baru itu,” katanya di Lembah Harapan, Seberang Takir , lewat petang tadi.
Pelantikan Razif untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Said sebagai menteri besar Terengganu pada Mei 2104 mencetuskan krisis kepimpinan dan hampir-hampir menjatuhkan kerajaan negeri itu.
Malah, desas-desus mengenai nasib ADUN Seberang Takir itu kononnya akan beralih bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Nerus menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau tidak akan kekal sebagai menteri besar selepas PRU ke-14.
Sementara itu mengulas cubaan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk merampas Terengganu daripada BN, Ahmad Razif menyifatkan ia sebagai melucukan.
Mengambil contoh apa yang berlaku semasa proses penamaan calon bagi seluruh negara hari ini, Ahmad Razif berkata mana mungkin pakatan pembangkang itu mampu mentadbir Terengganu.
Tak mampu tadbir negara
Bahkan, kata Ahmad Razif harapan gabungan pembangkang itu untuk mentadbir Putrajaya juga adalah satu misi yang mustahil.
“Semua yang bertanding melahirkan harapan sebegitu (mahu tadbir negeri atau negara), tetapi kita tengoklah persiapan mereka untuk penamaan calon, sedih juga.
“Nak jadi calon tapi tak boleh menguasai, mematuhi syarat-syarat (yang ditetapkan), melucukanlah.
“Ada juga (calon) Pakatan Harapan yang tak boleh bertanding dan terpaksa memberi kemenangan percuma. Jadi maknanya mereka ini tak bersedia, dah tahu orang itu bankrap, apanya yang nak bertanding?
“Macam mana nak mentadbir negeri dan negara?” soalnya.

Enam wakil pembangkang termasuk lima HARAPAN hari ini dibatalkan pencalonannya walaupun pertarungan sebenar PRU ke-14 belum bermula.
Pembatalan itu dibuat atas pelbagai kesalahan termasuk muflis serta hilang kelayakan bertanding kerana mempunyai kes di mahkamah.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif menyeru pengundi agar menilai sejauh mana kemampuan pakatan pembangakang untuk mentadbir dan negara sekiranya diberi kemenangan pada PRU 9 Mei ini.
“Di situ rakyat boleh menilai kerana calon BN tidak ada seorang pun yang tersingkir.
"Maknanya kita betul-betul teliti dan semak betul-betul (calon kita) bankrap ke apa, tak ada. Tak ada setakat ini calon BN tertinggal tanda nama,” tambahnya.
Terdahulu Ahmad Razif hadir pada majlis penyampaian kunci rumah teres PPRT kepada 11 penduduk di DUN Seberang Takir.
Hadir sama pada program tersebut calon BN bagi parlimen Kuala Nerus, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad.

