PRU14 | PAS menafikan laporan mengenai Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) telah keluar daripada Gagasan Sejahtera (GAGASAN) ekoran tersiarnya laporan berhubung perang empat penjuru di DUN Batu Kurau, Perak hari ini.
"Tak betul (khabar) tu," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi ringkas dan enggan mengulas ketika dihubungi Malaysiakini.
Hari ini, media tempatan melaporkan calon BERJASA, Zainal Abidin Abd Rahman bertanding di DUN Batu Kurau, melibatkan pertembungan empat penjuru dantara penyandang kerusi Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria, Mohd Shahir Mohd Hassan (Pas) dan Muhammad Aiman Aizuddin Md Husin (PKR).
Zainal Abidin yang juga ahli jawatankuasa (AJK) BERJASA Pusat dipetik Sinar Harian berkata, keputusan itu dibuat selepas PAS tidak memberikan kerusi kepada parti itu bagi kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu walaupun pernah bertanding sebelum ini.
Menurut Zainal, calon-calon BERJASA mahu diletakkan di kawasan yang majoriti pengundinya adalah Cina (DAP), lapor Sinar Harian.

Pada PRU13 lalu, Zainal Abidin bertanding di Dun Kuala Sepetang bagi mencabar calon BN, Loh Swee Eng dan calon PKR, Chua Yee Ling namun beliau meraih 430 undi.
Gagasan Sejahtera ditubuhkan selepas kegagalan kerjasama dalam Pakatan Rakyat pada 2016. Gabungan itu dianggotai PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Parti Cinta Malaysia (PCM) dan BERJASA.
Pada 24 April lalu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melancarkan pelan tindakan gabungan itu yang diberi nama Dokumen Malaysia Sejahtera.
Dokumen tersebut mengandungi Manifesto Malaysia Sejahtera, Dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) dan Dokumen Hijau.
