Keluarga kepada kesemua 10 tahanan terbaru di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit dalam Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) akan menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), jam 2 petang esok.

"Semua ahli keluarga terdekat mereka akan hadir membuat laporan esok," kata Ketua Pemuda Pas Mahfuz Omar yang dihubungi malaysiakini, tengahari tadi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena akan turut serta dalam rombongan itu, mewakili sebahagian tahanan yang di antaranya ahli PAS.

Menurut beliau, isteri Menteri Besar Kelantan Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak akan turut serta mewakili anaknya, Nik Adli Nik Abdul Aziz yang turut ditahan dalam operasi Khamis lalu.

Latihan ketenteraan

Selain Nik Adli, mereka yang ditangkap termasuklah ahli jawatankuasa Pemuda PAS Johor Noor Ashid Sakip dan Ketua Pemuda PAS kawasan Larut Perak Ahmad Tajuddin Abu Bakar.

Tujuh yang lain, Solehan Abdul Ghaffar dan Alias Ngah, kedua-duanya ditangkap di Kuala Terengganu), Zainun Ismail (Baling, Kedah), Abu Bakar Che Doi (Kuala Muda, Kedah), Asfawani Abdullah (Kuala Ketil, Kedah), Ahmad Pozi Darman (Hulu Tiram, Johor) dan Mohd Lothfi Ariffin (Kupang, Kedah).

Berikutan penahanan lapan anggota KMM, Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai mengeluarkan kenyataan bahawa polis sedang memantau lebih 50 anggota kumpulan itu dan tidak menolak kemungkinan untuk menahan mereka mengikut akta yang sama.

Norian mendakwa tahanan-tahanan itu "pernah menjalani latihan ketenteraan di Afghanistan."

Menurut beliau, kegiatan kumpulan itu terbongkar pada pertengahan Mei lalu apabila dua anggotanya ditahan polis sementara seorang lagi mati ditembak ketika cuba merompak sebuah bank di Petaling Jaya,

Sementara itu, Isnin lalu Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, penahanan itu bukan bermotifkan politik seperti didakwa pembangkang sebaliknya kegiatan kumpulan itu perlu diawasi kerana ia mengancam keselamatan negara.

Katanya lagi, tindakan pencegahan perlu diambil kerana mereka sedang merancang untuk menggugat kestabilan negara.