Keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam peristiwa berdarah di Tak Bai di wilayah selatan Thai setahun yang lalu, akan memfailkan saman menuntut 80 juta baht (kira-kira RM8 juta) daripada kerajaan Thailand.

Tindakan yang akan diambil terhadap lima agensi kerajaan itu, dijangka difailkan di mahkamah wilayah Pattani sebagai menandatangan ulangtahun pertama tragedi yang berlaku di wilayah Narathiwat itu.

Media tempatan melaporkan bahawa anggota keluarga mangsa, akan menyaman Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Pasukan Tentera dan Polis Thai serta pihak berkuasa wilayah Narathiwat.

Dalam kejadian tersebut, 78 orang terkorban akibat sesak nafas ketika dimasukkan secara berasak-asak dalam trak tentera, selepas terbabit dalam tunjuk perasaan di balai polis Tak Bai.

Tunjuk perasaan itu diadakan oleh penduduk yang menuntut pembebasan enam penduduk yang ditahan oleh polis kerana disyaki terbabit dalam rompakan bersenjata. Bagaimanapun bantahan tersebut bertukar ganas, menyebabkan enam orang ditembak mati.

Peguam mangsa terbabit, Utt Bueraheng berkata, mereka yakin menang kes tersebut, berikutan hasil siasatan dan tindakan disiplin yang telah diambil terhadap para pegawai yang terbabit dalam kejadian tersebut.

Katanya, walaupun pihak kerajaan telah membayar pampasan kepada keluarga mangsa-mangsa terbabit, tetapi ianya tidak mencukupi.

Bayar pampasan

Menurut laporan Bernama, kerajaan Thai telah membayar 400,000 baht (RM40,000) kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban manakala mangsa cedera menerima 120,000 baht (RM12,000) tiap seorang.

Sebelum itu, mangsa telah mendapatkan nasihat perundangan daripada Persatuan Peguam Muslim Narathiwat dan Persatuan Peguam Thailand.

Bagaimanapun, keputusannya untuk mewakili mangsa-mangsa terbabit untuk menfailkan saman tersebut, turut membimbangkan Utt.

"Sebenarnya saya tidak mahu mendedahkan (pembabitan) saya. Saya rasa pihak kerajaan tidak suka saya membantu saudara-mara mangsa-mangsa peristiwa Tak Bai untuk mendapatkan keadilan," katanya kepada akhbar Bangkok Post.

Tahun lalu, seorang peguam terkenal Islam, Somchai Neelaphaijit hilang dan penculikannya dipercayai ada kaitan dengan tugasnya mewakili mereka yang disyaki anggota puak pemisah Islam.

Mangsa terbabit juga menuntut kerajaan memenuhi janjinya untuk memberi 100,000 baht (RM10,000) kepada setiap keluarga yang telah kehilangan orang tersayang, untuk membiayai tambang mengerjakan ibadat haji di Mekah.

"Tidak seorangpun yang bercakap lagi mengenai tawaran tersebut. Saya masih menunggu...saya mahu ke sana (Mekah)," kata Dueramac Teemasa, yang kehilangan anak lelakinya dalam peristiwa Tak Bai itu.