Terjemahan Isu berhubung keganasan di selatan Thai dan isu demokrasi di Burma tidak disenaraikan dalam agenda sidang kemuncak Asean Disember ini, kata Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Katanya, perbincangan rasmi tidak akan diadakan berhubung isu-isu tersebut kerana Asean mengamalkan dasar tidak campurtangan dalam urusan dalaman negara anggotanya.

"Struktur agendanya adalah jelas," katanya dalam sidang akhbar semalam, sambil menegaskan bahawa tumpuan perbincangan adalah mengenai soal ekonomi dan kerjasama perdagangan.

"Bukanlah sifat Asean untuk membincangkan mengenai sesuatu negara dalam agendanya," katanya.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata, para pemimpin Asean boleh membangkitkan isu-isu tersebut dalam pertemuan sampingan ketika sidang kemuncak tersebut berlangsung di Kuala Lumpur.

"Para pemimpin berkenaan boleh berbincang mengenai apa sahaja, tetapi mereka mesti berhati-hati dan mengambilkira tradisi Asean," katanya.

Piagam hak asasi manusia

Menurut Syed Hamid lagi, cadangan Piagam Asean mengenai hak asasi manusia juga tidak disenaraikan dalam agenda sidang kemuncak tersebut.

"Dalam tempoh waktu beberapa hari itu, kami akan menumpukan kepada soal ekonomi dan integrasi Asean, daripada membincangkan isu-isu khusus, hak asasi manusia," katanya.

Dasar tidak campurtangan Asean sering teruji, antaranya apabila kerajaan tentera Burma enggan mengembalikan amalan demokrasi di negara itu, yang meletakkan negara-negara anggotanya dalam keadaan yang tidak selesa.

Thailand dan Malaysia juga terbabit dalam "perang mulut" berhubung 131 penduduk Islam yang lari ke negara ini kerana bimbangkan keganasan yang tercetus di wilayah selatan Thai.

Negara anggota Asean ialah Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam./ Berita asal