PRU14 | Calon DAP Ayer Hitam Liew Chin Tong hari ini mendakwa seorang ahli perniagaan Johor menyumbang berjuta ringgit kepada BN bagi memastikan beliau kalah di kawasan yang ditandinginya.

Menurut Liew, beliau difahamkan bahawa ahli perniagaan itu membantu BN di Ayer Hitam, Labis dan Sembrong.

"Dia bersungguh-sungguh sumbang wang. Berapa banyak? Kami ada dimaklumkan sumber kami," katanya dalam sidang media di Ayer Hitam petang tadi.

Liew mendakwa jumlah sumbangan ahli perniagaan itu mencecah tujuh angka.

"Saya tahu di Ayer Hitam, saya bukan hanya berdepan timbalan presiden MCA Wee Ka Siong tapi juga sumber kerajaan dan sokongan ahli perniagaan," katanya.

Sebaliknya, kata Liew, Pakatan Harapan (HARAPAN) kebanyakannya hanya bergantung kepada sumbangan kecil-kecilan bagi mendanai kempen pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Bagaimanapun, kata Liew, jutaan ringgit yang diberikan kepada BN tidak dapat menyekat perubahan sekiranya itu yang dimahukan rakyat.

Ahli perniagaan itu, kata Liew, hanya mempunyai satu undi seperti orang lain.

"Saya percaya jika rakyat mahukan perubahan, maka perubahan akan berlaku," katanya.

Justeru, Liew berpesan agar ahli perniagaan itu 'simpan saja duitnya'.

"Jika ada perubahan kerajaan, dia (ahli perniagaan itu) akan perlu berurusan dengan kerajaan baru.

"Jadi nasihat saya untuknya, simpan saja duit dan biarkan pertandingan berlaku secara adil," katanya.

Liew akan berdepan Wee di Ayer Hitam dengan Wee merupakan penyandang kerusi itu selama tiga penggal.

Pada PRU lalu, Wee menang dengan 7,310 majoriti undi.

Liew yang pada PRU lalu membuat kejutan dengan memenangi kerusi Kluang dilihat menggalas tugas mencabar untuk menggempur kubu MCA di Johor.

[Baca berita penuh]