Sebuah syarikat pengendali kapal terbang persendirian menyokong penjelasan dibuat Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yang menegaskan tiada bukti menunjukkan pesawat udara disewa Tun Dr Mahathir Mohamad semalam disabotaj, lapor The Star.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini VistaJet International berkata syarikat itu mengesahkan masalah teknikal dialami pesawat udara itu dikesan sebelum perlepasan dan tidak menjejaskan keselamatan sesiapa.

Katanya syarikat itu juga serta-merta menyediakan pesawat udara gantian buat bekas perdana menteri yang kini menjadi pemimpin pembangkang itu.

"Sebuah kapal terbang lain disediakan serta-merta bagi memenuhi tuntutan jadual pelanggan terbabit," kata syarikat berkenaan.

Semalam Pengerusi CAAM Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman berkata kapal terbang yang sepatutnya dinaiki Dr Mahathir tidak dapat digunakan ekoran berlaku kebocoran udara pada tayar kiri.

Kata agensi berkenaan masalah terknikal itu adalah hal biasa dan isu kecil.

Azharuddin membuat kenyataan berkenaan apabila Dr Mahathir mendakwa kapal terbang yang bakal dinaikinya dari Subang ke Langkawi disabotaj.

Hal itu menarik perhatian ramai kerana perjalanan itu signifikan buat Dr Mahathir serta Pakatan Harapan (HARAPAN) kerana tokoh terbabit perlu berada di Langkawi untuk menghadiri proses penamaan calon sempena PRU ke-14.

Kata pengerusi HARAPAN itu kerosakan berkenaan disengajakan untuk menghalangnya daripada menjadi calon untuk kerusi parlimen Langkawi.

Azharuddin kemudian mengkritik dakwaan dibuat Dr Mahathir kerana menurutnya, ia boleh menjejaskan nama baik penerbangan di Malaysia.

Bercakap di hadapan 600 hadirin, Dr Mahathir berkata beliau tidak menolak kemungkinan terdapat pihak lain yang telah dimaklumkan awal berkaitan kejadian tersebut.

Kata Dr Mahathir beliau cuba menghubungi tiga rakannya untuk meminjam pesawat ke Langkawi namun salah seorang daripada mereka mendakwa diberi amaran untuk tidak meminjamkannya kepada beliau.