Rangkuman #2: Nik Omar masih meniti di bibir
Rangkuman | Awal pagi hari kedua kempen pilihan raya umum (PRU) ke-14 perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak memuat naik ciapan di Twitternya mengecam Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai 'pelakon nombor satu'.
Dalam ciapan itu, Najib merujuk tindakan pengerusi BERSATU itu berbaik semula dengan bekas seteru politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di Facebook pula, personaliti TV Wardina Safiyyah sekali lagi menyatakan sokongan terbukanya kepada calon HARAPAN.
Wardinah kali ini memuat naik kenyataan berkata, dengan pencalonan anak bekas Mursyidul Am PAS, Nik Omar Nik Abdul Aziz sebagai wakil AMANAH di DUN Chempaka, sokongannya "bertambah 100 peratus".
Pencalonan Nik Omar semalam disusuli pemecatannya serta-merta dari PAS. Penyokong PAS rata-rata mengecam beliau dengan pelbagai gelaran dan tuduhan.
Sementara penyokong HARAPAN dilihat meletakkan harapan tinggi kepada beliau.
Turunkan bilboard, jual ayam dan tanah runtuh
Di selatan semananjung, di parlimen Ayer Hitam, calon DAP kawasan itu Liew Chin Tong menyelar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurunkan bilboard memaparkan gambar Timbalan Presiden MCA Wee Ka Siong, Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.
Chin Tong menyifatkan SPR berat sebelah kerana mendakwa selain menurunkan bahan kempen HARAPAN, SPR membiarkan bahan kempen MCA yang memaparkan Presiden MCA Liow Tiong Lai dan Presiden China Xi Jinping.
Di utara pula, calon GERAKAN Teluk Intan Mah Siew Keong dan calon Umno DUN Changkat Jong Mohd Azhar Jamaluddin berkunjung ke pasar 'Jualan Sentuhan Murah' di Taman Nanas.

Atas permintaan peniaga di situ, Mah turut membantu menjual ayam mentah.
Di Pulau Pinang, penduduk kondominium Miami Green berkumpul bersama calon-calon Tanjung Bungah - Zairil Khir Johari (HARAPAN), Teng Chang Yeow (BN), Chua Cheong Wee (PRM) dan Lee Zheng Yong (Parti Bersama Malaysia) - bagi membincangkan kerisauan mereka berhubung pembangunan lereng bukit.
Dalam perjumpaan itu, pakar persekitaran dan geoteknologi Aziz Noor dari Global Sdn Bhd dan A Rajan dari Majlis Daerah Pulau Pinang turut hadir.

Aziz mengingatkan calon-calon Tanjung Bungah berhubung tanah runtuh di Tanjung Bungah yang menyebabkan 11 terkorban tahun lalu.
Turut hadir calon parlimen BN Bukit Bendera Andy Yong.
Zairil yang merespons kepada Teng mencabar pengerusi BN Pulau Pinang itu jika berani berdepan Najib berhubung isu GST dan 1MDB.
Senarai 'Hall of Shame' BERSIH
Sementara di Selangor, badan pendesak pembaharuan pilihan raya BERSIH mengadakan sidang media yang menampilkan Naib Presiden PKR Tian Chua dan dan calon PKR S Streram.
BERSIH mengecam pembatalan pencalonannya kedua-dua wakil PKR itu semalam.
BERSIH turut mendakwa SPR berat sebelah kerana menerima pencalonan calon BN DUN Ketari Lau Hoi Keong.

Hari ini juga BERSIH mengeluarkan senarai 'Hall of Shame PRU14' yang menyenaraikan Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebagai penerima 'anugerah' utama.
Selain itu, seorang wakil PKR dan seorang wakil PAS turut termasuk dalam senarai calon PRU yang didakwa membuat kesalahan dalam kempen pilihan raya seperti merasuah pengundi.
Tujuh nama yang lain adalah dari calon BN.

Di Lembah Pantai, calon parlimen BN Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon PKR Fahmi Fadzil bertembung ketika program meramahi penduduk di pasar malam berhampiran.
Pada sebelah petang pula, di Kedah, kira-kira 500 hadir di ceramah di Taman Derga Jaya.
Dalam ceramah itu, calon HARAPAN Pokok Sena mengumumkan beberapa ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) akan menyertai AMANAH.
Ejaan nama, sidang media dramatik
Sementara itu, portal berita dan media sosial melaporkan beberapa insiden yang menghangatkan lagi perbahasan politik sempena PRU.
Awal hari ini, Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertikai ejaan namanya dalam laman web SPR.
Di pasar di Cheras pula, calon MCA Cheras Heng Sinn Yee yang meramahi pengundi dihampiri wanita yang memberi 'sokongan' untuk menjadikan BN sebagai pembangkang.

Ketua menteri sementara Pulau Pinang pula memuat naik klip video di Facebook memaparkannya menolong seorang penumpang kapal terbang mengangkat beg.
KiniTV pula menyiarkan sidang media calon BN Bukit Lanjan Syed Abdul Razak Alsagoff yang menjadi 'dramatik' seketika apabila seorang pegawainya meramps surat akuan sumpah yang sedang dibaca Abdul Razak.
Menghitung 10 hari sebelum hari mengundi pada 9 Mei, forum politik tanah air dijangka akan menjadi semakin hangat.

