Berita Malaysiakini

Tidak dapat masuk pusat penamaan, SPR tunggu siasatan polis

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan ada calon tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon, sehingga laporan lengkap diperolehi dan siasatan polis dijalankan.

Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, difahamkan ada pihak telah membuat laporan polis berhubung kes tersebut, dan oleh itu adalah tidak wajar bagi pihaknya untuk memberikan sebarang kenyataan.

“SPR mengambil maklum terhadap bantahan pihak terbabit yang tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon untuk menyerahkan kertas pencalonan mereka semasa hari penamaan calon di bahagian pilihan raya DUN (Dewan Undangan Negeri) Rantau dan Parlimen Rembau, Negeri Sembilan ekoran tidak mempunyai pas SPR.

"Terpulanglah kepada pihak terbabit untuk menggunakan saluran perundangan yang dibenarkan berkaitan kes itu," katanya dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu juga, SPR meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

Semalam, calon PKR, Dr S Streram tidak dapat mengemukakan kertas penamaan calon selepas gagal membawa bersama pas calon seperti yang disyaratkan SPR untuk membolehkannya memasuki pusat penamaan calon bagi bahagian pilihan raya DUN Rantau dan Parlimen Rembau.

Berikutan itu, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan diisytiharkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau.

- Bernama