Kira-kira 80 peratus daripada 1,835 pelajar yang ditangkap polis dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah, adalah pelajar Melayu.

Dalam tempoh berkenaan, polis menahan seramai 1,516 pelajar Melayu, diikuti 132 pelajar India, 119 pelajar Cina (119 orang) dan bakinya adalah pelajar daripada bangsa lain.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye berkata mengikut negeri pula, tangkapan terbanyak dilakukan di Selangor, iaitu 270 pelajar atau 14.7 peratus daripada jumlah keseluruhan, katanya ketika menjawab soalan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan Bernama, Chia berkata, secara amnya, jumlah tersebut tidak banyak berbeza jika dibandingkan dengan tempoh yang sama tahun lalu.

Membimbangkan tapi Terkawal

"Kita memang khuatir dengan statistik ini tetapi keadaan adalah terkawal," katanya.

Beliau berkata, pelbagai langkah telah diambil oleh pihak berkuasa, termasuk mengadakan kerjasama lebih erat dengan pihak sekolah bagi membendung penularan gejala jenayah di kalangan pelajar.

Kepada soalan Datuk Rosli Mat Hassan (BN-Dungun), Chia berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini, sembilan pegawai dan 46 anggota polis pelbagai pangkat, ditangkap oleh Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk siasatan berhubung kes rasuah.

Dalam tempoh itu juga, 48 pegawai dan 251 anggota dikenakan tindakan tatatertib kerana didapati terlibat dalam penyalahgunaan kuasa, katanya.

Chia berkata, secara perbandingan di antara 2003 dan 2004, peratusan anggota dan pegawai polis yang melanggar disiplin dan dikenakan tindakan adalah rendah, iaitu kurang daripada 1.5 peratus jika diambil kira faktor pertambahan anggota pasukan berkenaan pada setiap tahun.

Antara tindakan disiplin yang diambil ialah tahan kerja, gantung kerja sementara penyiasatan dilakukan dan juga penamatan perkhidmatan, katanya.