Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Zaid: Peguam Australia setuju ambil kes ANZ-1MDB
Diterbitkan:  Apr 30, 2018 12:18 PM
Dikemaskini: 4:27 AM

Datuk Zaid Ibrahim mendedahkan peguamnya di Australia bersetuju mengambil kes terhadap ANZ Bank bagi mendapatkan semula RM2.6 bilion yang didakwanya diseleweng dari dana 1MDB meskipun pihak berkuasa Malaysia menegaskan sebaliknya.

"Jika berjaya, saya akan gunakan bayaran pampasan untuk aktiviti bagi membolehkan rakyat berfikir secara rasional. Pilihan raya hanya berguna apabila orang berfikir dan bukan bermimpi sepanjang masa," katanya dalam catatan di Twitter tanpa mengulas lanjut.

Menerusi blog pada 23 April lalu, bekas menteri undang-undang itu mendedahkan beliau ke Sydney seminggu sebelum itu untuk mengarahkan Peguamcara Levitt Robinson meninjau kemungkinan mendakwa ANZ Bank.

Zaid berkata ANZ menguruskan AmBank dan masih merupakan pemegang saham AmBank di Malaysia.

"Saya percaya ANZ bertanggungjawab, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk pengubahan wang haram yang dimiliki oleh rakyat negara ini.

"Ini merupakan sumbangan terakhir saya sebelum 9 Mei 2018," katanya merujuk kepada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Zaid berkata beliau mahu kes itu dibawa ke mahkamah Australia dengan komitmen sekiranya terdapat ganti rugi dari ANZ Bank, mahkamah akan mengawasi penggunaannya dan semata-mata demi kepentingan rakyat Malaysia.

"Ini termasuk menyediakan pendidikan yang lebih baik, lebih banyak biasiswa dan perkhidmatan sosial yang lebih baik, yang sepatutnya dibiayai 1MDB," katanya.

Bekas menteri itu berkata beliau juga mahukan AmBank mendedahkan penyata akaun bagi memastikan sama ada dana 1MDB dimasukkan ke akaun perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak atau ia berpunca dari 'derma' kerabat diraja Arab Saudi.

"Tetapi mereka mengatakan saya tidak mempunyai lokus standi kerana saya bukan pemegang saham atau pengarah 1MDB," katanya.

Najib menafikan menyalahgunakan dana awam untuk keuntungan peribadi dan mendakwa tuduhan itu dibuat oleh mereka yang berkomplot untuk menjatuhkan beliau.

Najib juga mendakwa RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya adalah daripada derma kerabat Diraja Arab Saudi, yang disahkan oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Apandi sebelum ini membebaskan Najib daripada sebarang salah laku.

1MDB juga menegaskan dananya tidak dicuri dan mendakwa menjadi mangsa serangan bermotifkan politik.

 

Lihat Komen
ADS