PRU14 | BN Sabah boleh menarik nafas lega apabila penyandang Parlimen Sepanggar Datuk Jumat Idris yang digugurkan pada pilihan raya kali ini menamatkan spekulasi beliau akan memberontak.
Dalam acara di rumahnya di Likas semalam, Jumat mengisytiharkan beliau masih bersama BN.
Beliau bagaimanapun turut berkata tidak boleh mengatakan setia kepada Umno kerana kini keahliannya masih digantung.
"Bila-bila masa saya boleh tinggalkan Umno kerana Umno tak sayang saya lagi," katanya kepada kira-kira seribu hadirin.
Jumat turut menceritakan kembali bagaimana anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak bertanya kepadanya kenapa tidak menjawab panggilan sebelum ini ketika Datuk Seri Najib Razak "ingin bercakap dengannya".
"Setiausaha Akhbar PM Datuk Seri Tengku Sharifuddin Tengku Ahmad juga kata Najib ingin bercakap dengan saya.
"Apabila PM hubungi saya, beliau kata 'Salleh beritahu anda masih setia pada saya'.
"Saya jawab "ya saya masih orang anda, saya setia pada anda'."

Beliau berkata Najib kemudian memintanya membantu BN di Sepanggar dan pergi bertemunya selepas pilihan raya umum.
Pada April 2015, Jumat digantung sebagai ketua bahagian Umno Sepanggar selepas mengkritik Ketua Menteri sementara Datuk Seri Musa Aman di Facebook.
Sejak itu, beliau juga kritikal dalam beberapa isu termasuk pelaksanaan GST.
Penyandang Parlimen Kota Belud dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sementara Datuk Abdul Rahman Dahlan dipilih untuk menggantikan Jumat sebagai calon Parlimen Sepanggar pada PRU ke-14.
Salleh pula mengambil tempat Abdul Rahman di Kota Belud.
Di sebalik dakwaan persaingan antara Abdul Rahman dan Salleh, menteri Komunikasi dan Multimedia sementara itu memainkan peranan penting bagi memastikan Jumat kekal bersama BN.

Salleh yang turut hadir di acara semalam memberi penghargaan kepada Jumat kerana kekal setia.
"Saya beritahu Najib, Jumat telah tunjuk kesetiaannya (maka) penggantungannya patut ditarik balik," katanya disambut sorakan hadirin.
"Najib bersetuju. Saya akan pegang kata-kata ini untuk memastikan Jumat terus memainkan peranan dalam Umno," katanya lagi.
Kalangan penyokong Jumat kecewa selepas BN dilaporkan akan menggugurkannya daripada mempertahankan Parlimen Sepanggar.
Jumat dikatakan seorang anggota parlimen yang berkerja keras dan disayangi penduduk kawasannya.
Ekoran pengguguran itu, timbul spekulasi beliau akan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).
