Batu tanpa Tian: Pengundi pilih mana?
PRU14 | Ada apa untuk pengundi kawasan parlimen Batu selepas penyandangnya Tian Chua terhalang daripada bertanding sekali lagi di situ pada 9 Mei ini?
Macam-macam. Misalnya ada enam pengundi mengaku mereka akan merosakkan undi, atau memboikot pengundian pada hari berkenaan.
Tinjauan rambang dilakukan Malaysiakini dan KiniTV juga menunjukkan lima daripada 16 pengundi yang ditemui memberitahu mereka akan memangkah calon bebas yang turut bertanding di Batu.
Secara keseluruhan ada empat calon yang bertanding di Batu. Mereka ialah Naib Presiden Gerakan Datuk Dr Dominic Lau (BN), Azhar Yahya (PAS), VM Panjamothy Muthusamy dan Prabakaran Parameswaran.
Daripada dua calon bebas itu kebanyakan pengundi yang bercakap kepada Malaysiakini lebih yakin memberikan sokongan mereka kepada Prabakaran.
Penuntut jurusan undang-undang itu berusia 22 tahun dan menjadi calon paling muda dalam PRU14 ini.
Jangan senang-senang lepas
Untuk rekod, Panjamurty ialah bekas pemimpin MIC di Batu.
Sesetengah pengundi pula mencadangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) merekrut salah seorang calon bebas berkenaan untuk mewakili pembangkang selepas Tian dibatalkan kelayakannya oleh pegawai pengurus pilihan raya.
Tiga individu pula berkata mereka akan memberikan undi kepada Lau supaya lebih banyak pembangunan dan bantuan disalurkan ke Batu. Dua yang lain mendakwa mereka belum membuat keputusan mengenai calon yang menjadi pilihan.

Seorang perunding teknologi maklumat, Tan Chong Wei, 46, berkata dia tidak akan keluar mengundi pada PRU kali ini.
"Perlu ada pelan untuk meletakkan calon sokongan.
"Saya pasti para pengundi masih akan menyokong pembangkang. Jangan senang sangat lepaskan kerusi," katanya.
Pesara, V Rajan, berkata kemungkinan dia akan memberikan undinya kepada Prabakaran dan mendesak calon itu menjadi calon untuk PKR.

Pesara syarikat telekom dan kini berusia 65 tahun itu bagaimanapun tidak akan memberikan undi kepada calon BN, PAS atau calon yang pernah menjadi pemimpin MIC.
"Lupakanlah, saya cuma akan mengundi calon bebas. Biar dia melompat (berpindah) kepada parti pembangkang," katanya.
Tetap tolak hudud
Alasan Rajan, seorang wakil rakyat mestilah berkelayakan dan mampu melaksanakan tanggungjawab.
"Kita perlukan pembangkang untuk membawa suara rakyat ke parlimen," katanya.
Peniaga mi di Jalan Ipoh yang dikenali sebagai Wong berkata, dia menjadikan faktor muda dan dinamik sebagai pertimbangan untuk calon yang akan mendapat undinya.
"Saya tak akan mengundi BN atau PAS. Saya tak mahu hudud," katanya.
Pencalonan Tian untuk mempertahankan kerusi Batu untuk penggal ketika tidak menjadi kenyataan pada 28 April lalu selepas pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan kelayakannya.
Alasan yang diberikan pegawai SPR terbabit ialah keputusan mahkamah yang menyabitkan naib presiden PKR itu dengan kesalahan dan mendendanya RM2,000.

Bagaimanapun Tian membantah ketetapan berkenaan kerana sebelum ini hakim membuat keputusan denda RM2,000 itu tidak menggugurkan haknya sebagai wakil rakyat.
Tian mengemukakan permohonan untuk semakan perundangan hari ini bagi mencabar keputusan dibuat pegawai SPR terbabit.
Dia juga dijangka akan mengumumkan rancangannya memastikan Lau tidak berjaya menawan Batu dalam satu ceramah di Sentul esok.
Batu mempunyai 76,328 pengundi berdaftar dengan 43 peratus adalah Melayu, 38 peratus Cina dan 17 peratus India.
Ketika strategi HARAPAN masih belum jelas, rekod menunjukkan majoriti pengundi memenangkan wakil pembangkang sejak kerusi berkenaan diwujudkan pada 1959.
BN menguasai Batu mulai 1986 sebelum dikuasai pembangkang semula - melalui Tian - kira-kira 22 tahun kemudian.
Tak layan kalau bukan kerajaan
Tian memenangi kerusi Batu pada PRU ke-12 dengan kelebihan 9,455 undi.
Kebanyakan pengundi memang marah - malah seorang daripada mereka menitiskan air mata - apabila bercakap mengenai kegagalan Tian bertanding sekali lagi di situ.
Pada masa sama ada juga pengundi berkata mereka tidak peduli dengan ketiadaan Tian.
K Ranjiny misalnya berkata, dia sekeluarga akan mengundi BN kerana parti itu banyak menolongnya.

Pemilik kedai alat tulis, Liew Teong Boon, 64, berkata dia akan mengundi BN kali ini.
"Wakil rakyat pembangkang tidak boleh buat apa-apa sebab kerajaan tidak akan melayan mereka.
"Sebab itu saya akan mengundi BN kali ini," katanya yang mengendalikan kedai itu hanya beberapa pintu dari pusat khidmat Tian.

