Semua penguatkuasaan dan pendakwaan mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 perlu dihentikan sementara menunggu keputusan cabaran terhadap kesahihannya, kata NGO Lawyers for Liberty hari ini.

Penasihat LFL N Surendran dalam satu kenyataan mengulas laporan berita pagi ini bahawa seorang warga Denmark akan menjadi individu pertama yang didakwa di bawah Akta Antiberita Tidak Benar kerana membuat tuntutan palsu terhadap polis.

"Saya gesa menteri dalam negeri dan peguam negara untuk menghentikan semua penguatkuasaan dan pendakwaan di bawah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sementara menunggu keputusan kes cabaran sekarang di Mahkamah Tinggi KL," kata Surendran.

Beliau merujuk kepada cabaran perlembagaan yang difailkan oleh Malaysiakini minggu lalu yang menentang undang-undang berkenaan.

Mengenai kemungkinan dakwaan terhadap warga Denmark itu, Surendran berhujah bahawa apabila kesahihan undang-undang itu menjadi persoalan perdebatan nasional, maka penguatkuasaannya harus dihentikan sementara menunggu keputusan berwibawa oleh mahkamah.

"Lebih-lebih lagi, kes warga Denmark ini menggambarkan kebimbangan bahaya yang mungkin ditimbulkan oleh Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang mencabuli hak orang awam terhadap kebebasan bersuara," katanya.

Akbar The Sun, hari ini melaporkan lelaki itu akan dikenakan tindakan kerana membidas tempoh masa sebelum pihak polis bertindak balas selepas pembunuhan anggota Hamas, Fadi Mohammed al-Batsh di Kuala Lumpur awal bulan ini.

Lelaki 46 tahun itu akan didakwa dengan tuduhan mencipta dan menerbitkan berita palsu di bawah Seksyen (4) (1) Akta Antiberita Tidak Benar.

[Baca berita penuh]