Sabah tiada dalam hati Mahathir, kata Najib
Perdana menteri sementara, Datuk Seri Najib Razak berkata komitmen beliau terhadap Sabah dapat dilihat daripada kekerapannya melawat negeri itu sejak sembilan tahun menjadi perdana menteri.
Menurutnya beliau lebih kerap melawat Sabah berbanding Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun.
"Ketuanya (Dr Mahathir) pernah 22 tahun memimpin negara ini tetapi tidak dekat dengan orang Sabah. Maknanya orang Sabah tidak (berada) dalam hati kecilnya," katanya seperti dilapor Bernama.
Mengambil contoh peruntukan RM1 bilion bagi menaik taraf sekolah daif di Sabah dalam Bajet 2018, Najib berkata ia merupakan janjinya sebagai perdana menteri kepada rakyat negeri ini.
Katanya, masalah mengenai kedaifan sekolah di Sabah turut disuarakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
"Beliau (Musa) tidak bermimpi saya bagi RM1 bilion. Ini merupakan janji saya sebagai perdana menteri dan bagi memastikan jurang pembangunan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung dihapuskan," katanya pada majlis perasmian Sekolah Kebangsaan Bahagia di Batu Sapi hari ini.
Perdana menteri berkata pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dengan peruntukan RM16 bilion merupakan komitmen berterusan beliau kepada Sabah bagi meningkatkan kemudahan jalan raya untuk keselesaan rakyat.
Dalam pada itu, Najib meminta rakyat berfikir secara bijak dan rasional dengan memilih parti yang boleh menjadikan hidup mereka lebih baik pada masa akan datang.
"Menyokong Barisan Nasional (BN) sebab kita semua tahu bahawa dalam pilihan raya, kita (kena) pilih apakah ukurannya, apakah kriterianya," katanya.
Selain Musa Aman, turut hadir pada majlis itu ialah calon BN di kawasan Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thsu Lin, calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong Datuk Samsudin Yahya dan calon BN DUN Karamunting Lim Kai Ming pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.

