Warga Denmark bersalah di bawah Akta Antiberita Tidak Benar
Seorang lelaki warga Denmark adalah individu pertama yang mengaku bersalah mengikut Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dan dihukum penjara seminggu atau denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini.
Salah Salem Saleh Sulaiman, 46 yang tidak diwakili dituduh menerbitkan berita melalui rakaman video berhubung kelewatan pihak polis tiba di lokasi pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin, dua minggu lalu.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4 (1) Akta Antiberita Tidak Benar yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara enam tahun.
“Kamu juga perlu memadam video yang telah dimuat naik di laman Youtube itu,” kata Hakim Zaman Mohd Noor.
Tertuduh yang berasal dari Yaman didakwa merakam video tersebut melalui akaun Youtube atas nama ‘salah sulaiman’ bertajuk ‘Pembunuhan Sheikh Al Ghazawi Fadi Al Batsy di Kuala Lumpur, pada 21 April lalu.
Dia yang bekerja sebagai pembersih kuda di negaranya melawat negara ini sejak 11 April lalu merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai tiga isteri dan enam anak serta berulang kali memohon maaf kepada mahkamah.
“Saya memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Saya tidak tahu adanya undang-undang seperti ini dan berbuat demikian kerana tidak mempunyai pengetahuan tentangnya,” katanya.
Mengikut fakta kes, siasatan mendapati pihak polis tiba di lokasi kejadian lebih awal daripada 50 minit dan bukannya tiba selepas lebih 50 minit kemudian seperti yang dinyatakan oleh tertuduh berdasarkan video berdurasi satu minit 49 saat dengan sarikata bahasa Melayu bertajuk ‘Saksi Imam Palestin Dibunuh’
Media sebelum ini melaporkan, seorang pensyarah universiti warga Palestin, Dr Fadi Mohammed Al Batsh, mati ditembak di luar kondominium Idaman Putri, Setapak semasa berjalan menuju ke sebuah surau untuk mengimamkan solat Subuh pada 21 April lalu.

