Cuaca buruk ganggu kempen PRU14
PRU14 | Hujan lebat dan ribut petir menganggu kempen pilihan raya umum di utara semenanjung Malaysia hari ini.
Pagi ini di Pulau Pinang, calon MCA dan Gerakan baru memulakan lawatan di pasar Anson Road pada jam 8 pagi.
Bagaimanapun, hujan lebat yang bermula sekitar jam 7 pagi berterusan sehingga 9 pagi.
Calon Tanjong daripada parti Gerakan, Ng Siew Lai dan calon Padang Kota MCA, Lim Swee Bok kemudian menghabiskan masa 10 minit di pasar sebelum memutuskan untuk pergi berkempen di pangsapuri berdekatan selepas hujan berhenti.
Di tempat lain di Pulau Pinang hujan lebat dilaporkan sejak jam 6.30 pagi berlarutan hingga ke tengah hari.
Sesak dengan orang ramai
Di Kedah pula, hujan lebat dan angin kencang menganggu program Jualan Harga Runtuh Umno di Alor Setar yang bertempat di Pertubuhan Peladang Kawasan Tun Adam Malik, yang sepatutnya bermula jam 10 pagi ini.
Seramai kira-kira 20 orang mencari tempat perlindungan di bawah kanopi dan bangunan ribut melanda sekitar jam 8 pagi dan beberapa kanopi telah diturunkan atau sebahagiannya dibuka kerana dikhuatiri angin akan menerbangkannya.
Namun demikian, kanopi tersebut dipasang sekali lagi sebaik sahaja angin kencang dan hujan lebat mereda sekitar jam 8.40 pagi. Acara jualan runtuh itu mendapat sambutan orang ramai yang sesak keluar dan masuk membeli barangan runcit dengan harga diskaun kira-kira jam 9 pagi, walaupun cuaca masih hujan .
Di selatan semenanjung pula, hujan lebat melanda Johor, di kawasan Pagoh dan Yong Peng selepas tengah hari.
Walau bagaimanapun, cuaca buruk tidak dilaporkan menghalang apa-apa kegiatan kempen yang dirancang.

