PRU14 | Risalah empat halaman berbahasa Cina dikesan diedarkan di pasar Cina Kuah, mendakwa calon parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai anti-Cina.

Kandungan risalah itu antara lain menyebut 33 perkara berkaitan kegagalan Dr Mahathir sepanjang 22 tahun pentadbiran beliau dalam menjaga kebajikan kaum itu.

“Selama 22 tahun Mahathir memegang kuasa, dia cuba menyingkirkan bangsa Cina dari segi kuasa politik, bangsa dan pendidikan namun beliau gagal.

“Kini beliau menggunakan DAP untuk (meneruskan) perjuangannya terhadap kaum Cina. Jika dia berjaya, dia akan menyertai Umno semula dengan kerusi parlimen yang dimenanginya.

“Ini adalah kesempatan terbaik bagi kaum Cina untuk membalas dendam kepada Mahathir dengan menghalangnya bangkit semula, yang merupakan cara terbaik untuk membalas dendam atas kejahatan masa lalu (dan yang dirancang untuk masa depan) yang menindas kaum Cina dengan pelbagai cara,” menurut risalah itu.

Risalah itu turut mendakwa, pada 19 Disember 2012, Mahathir pernah menyebut kaum Cina mencapai kejayaan dengan cara menipu.

“Beliau sangat iri hati dengan pencapaian Cina dalam pelbagai bidang (terutamanya ekonomi) dan mahu menafikan pekerja Cina mereka sebagai sumbangan dalam pencapaian Malaysia,” petik risalah tersebut.

Selain itu risalah tersebut turut menyebut ketika operasi lalang, terdapat aktivis pendidikan Cina di tahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) kerana membantah tindakan Kementerian Pendidikan menghantar guru-guru yang tidak boleh bercakap bahasa Cina untuk memegang jawatan tinggi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Turut terpapar tulisan, jangan biar Mahathir bunuh Cina sekali lagi, #undirosak.

Kerusi parlimen Langkawi berhadapan pertembungan tiga penjuru yang melibatkan Dr Mahathir, Datuk Ir Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (PAS).

Pada PRU ke-13 lalu, Nawawi menang di Langkawi dengan kelebihan besar 11,861 undi mengetepikan cabaran wakil PKR, Ahmad Abdullah.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan risalah tersebut telah diedarkan di kawasan perumahan masyarakat Cina dan di medan selera.

Rata-rata penduduk memaklumkan bahawa mereka menerima edaran risalah tersebut yang diletakkan di dalam peti surat dan cermin kereta.

Seorang penjual buah, Wong Bun Yong, 72 menyedari risalah tersebut diletakkan di dalam peti surat rumahnya pada Khamis malam sebelum Dr Mahathir tiba di Langkawi untuk penamaan calon.

“Saya sampai rumah sekitar jam 10 malam, perasan ada kertas dalam peti surat, saya ambil dan baca.

“Kandungan risalah itu menyenaraikan keburukan dilakukan Mahathir terutamanya kepada komuniti Cina, selama 22 tahun menjadi perdana menteri sebelum ini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Selain itu, seorang usahawan yang dikenali sebagai Ah Bui, 54 mendedahkan risalah itu diedarkan bagi menghakis sokongan pengundi Cina terhadap Pengerusi HARAPAN itu.

“Mereka tulis jika Mahathir menang, beliau akan kembali kepada Umno.

“Mereka juga dakwa selama 22 tahun jadi perdana penteri, Mahathir cuba merosakkan politik, ekonomi, budaya dan pendidikan Cina namun tidak berjaya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Walaubagaimanapun, beliau yang juga pengundi di kawasan tersebut berkata risalah itu tidak akan menghakis sokongan mereka terhadap Dr Mahathir.