PRU14 | Calon BN Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kasim menafikan beliau seorang ‘hartawan’ yang membeli undi bagi menghadapi pilihan raya umum kali ini.

Sebaliknya beliau hanya menjaga kebajikan rakyat di kawasan ini sejak memenangi PRU lalu.

Shahidan berkata demikian bagi membalas tuduhan pencabarnya Mursyidul Am PAS Hashim Jasin bahawa beliau seorang hartawan berbanding dirinya, cuma bermodalkan air liur untuk berkempen bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Tak lah (bukan hartawan). Saya tak membeli undi ya, saya sebelum ni bagi kebajikan pada rakyat, saya nak pergi syurga, saya nak cari keredaan Allah.

“Kalau dia kata saya jutawan, ya saya mungkin ada sumber pendapatan yang lepas-lepas sebelum jadi menteri besar, saya berniaga.

Kejayaan kerana doa rakyat

“Sekarang saya bagi balik pada rakyat. Semua kejayaan saya, bukan kerana saya hebat, kejayaan saya kerana doa rakyat, izin Allah. Jadi saya bagi balik pada rakyat,” katanya kepada Malaysiakini di Bilik Gerakan BN di Parlimen Arau.

Malaysiakini melaporkan, Hashim menganggap pertembungan beliau dengan Shahidan ibarat jutawan dicabar individu yang tidak mempunyai apa-apa harta.

“Kali ini saya sedar, saya berlawan dengan orang kaya. Biarlah dia buat cara dia, saya akan buat cara saya.

"Harta saya air liur saja. Itu yang boleh diberi pada rakyat," kata Hashim kepada Malaysiakini.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata BN sentiasa menjaga kebajikan rakyat setiap masa dan tidak tertumpu kepada musim PRU sahaja.

“PRU ini tak boleh beli undi, tak betul la kata saya nak beli undi. BN macam biasa sahaja cuma kita buat persediaan sebelum PRU ini, kita buat kebajikan. Tak bolehlah nak PRU baru nak buat kebajikan, nanti rugilah saya dengan Allah SWT.

“Kebajikan bukan dalam bentuk wang, kadang-kadang minta kerusi roda, kerusi roda kalau bagi selepas PRU jadi kawan tu nak gerak macamana jadi itu dianggap kebajikan.

“Kita jaga kebajikan sahaja, kita tak terlibat dalam membeli undi, soal kempen air liur, saya pun kempen air liur juga. Saya pun boleh bersyarah tak ada masalah. Untuk memikirkan saya menggunakan wang tu tak betul, dia pun tahu,” katanya.

Selain Hashim dan Shahidan, turut bertanding di Arau ialah bekas profesor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr Rahman Daud mewakili Pakatan Harapan (HARAPAN).

Shahidan sebelum ini berjaya memenangi kerusi Parlimen Arau dengan majoriti 1,371 selepas berdepan dengan Allahyarham Datuk Haron Din dari Pas dan juga calon Bebas, Zainudin Yom.

Sementara itu, Shahidan yakin pihaknya akan menang besar di Perlis PRU ini kerana gerak kerja sudah dilakukan sejak berakhirnya PRU lalu.

“PRU yang lepas kita kerja kuat, kali ini kita kerja keras. Sudah lima tahun kita berusaha, kita sekarang berada di peringkat cukup mantap, kita siap siaga untuk 9 Mei.

“Insya Allah kita akan menang 15-0 DUN dan 3-0 peringkat parlimen. Insya Allah sebab kita dah kerja keras dan jentera kita ada di mana-mana,” katanya.