Ketua Hakim Negara Tun Raus Sharif hari ini mengingatkan para hakim agar memberi pendengaran yang adil kepada pihak-pihak dalam kes mahkamah walaupun mempunyai sasaran tempoh masa untuk menyelesaikan sesuatu kes.

Kata beliau hakim perlu sentiasa sabar dan bersedia memberi peluang kepada pihak-pihak mengemukakan keterangan dan hujah-hujah mereka.

"Jangan nafikan hak pihak-pihak untuk mengemukakan keterangan dan juga jangan kita nafikan peguam atau timbalan pendakwa raya dan peguam-peguam dari Jabatan Peguam Negara daripada mengemukakan penghujahan mereka," kata Raus dalam ucapannya pada majlis angkat sumpah jawatan dan taat setia hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi, di Putrajaya.

Beliau berkata para hakim juga hendaklah mendengar dengan sabar akan sesuatu kes mahkamah dengan minda yang terbuka dan tanpa prejudis kepada mana-mana pihak.

"Menurut Socrates, ahli falsafah Yunani, terdapat empat kualiti kehakiman atas yang perlu ada pada seseorang hakim iaitu ‘to hear courteously, to answer wisely, to consider soberly and to decide impartially’," kata Raus.

"Besarlah harapan saya agar semua hakim di negara ini mempunyai dan membaiki kualiti kehakiman asas masing-masing. Ini penting dalam usaha badan kehakiman untuk meraih persepsi positif masyarat terhadap kita,” katanya lagi.

Dalam ucapannya, Raus juga menyeru agar para hakim sentiasa berusaha meningkatkan lagi kualiti penulisan alasan penghakiman masing-masing supaya keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman dapat dipertahankan dan ditingkatkan.

Beliau berkata amatlah penting penghakiman hakim-hakim mencapai mutu yang tinggi kerana ia bukan sahaja boleh dibaca di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia berikutan pelancaran portal yang memuatkan alasan penghakiman mahkamah baru-baru ini.

Sebelum itu, Raus berkata menerusi pelantikan hari ini, hakim wanita di Mahkamah Persekutuan bertambah menjadi lima orang daripada 16 hakim manakala di Mahkamah Rayuan 12 orang daripada 25 hakim.

Beliau berkata pelantikan dan kenaikan pangkat hakim wanita bukan untuk memenuhi kuota sebaliknya adalah berdasarkan merit dan prestasi mereka.

"Jika trend ini berterusan, saya dapat bayangkan dalam tempoh yang terdekat, salah satu daripada empat jawatan tertinggi Badan Kehakiman Malaysia akan disandang oleh wanita. Malah tidak mustahil keempat-empat jawatan tersebut akan dipenuhi oleh hakim wanita," kata Raus.

Pada majlis itu, seramai 14 hakim mengangkat sumpah jawatan dan taat setia setelah mereka masing-masing dilantik dan dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dilantik hakim Mahkamah Persekutuan ialah Datuk David Wong Dak Wah, 64; Datuk Rohana Yusuf, 61 dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, 62.

Sementara itu, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Stephen Chung Hian Guan, 64; Datuk Hanipah Farikullah, 58 dan Datuk Wira Kamaludin Md Said, 59 dinaikkan pangkat sebagai hakim Mahkamah Rayuan.

Seramai lapan pesuruhjaya kehakiman disahkan jawatan sebagai hakim Mahkamah Tinggi iaitu SM Komathy, 59; Datuk Ab Karim Ab Rahman, 61; Datuk Wong Kian Kheong, 54; Dr Choo Kah Sing, 50; Datuk Ahmad Bache, 59; Datuk Mohd Firuz Jaffril, 49; Datuk Mairin Idang @ Martin, 63 dan Dr Alwi Abdul Wahab, 51.

- Bernama