PRU14 | Memanggil dirinya dengan gelaran 'anak kucing merah' tidak akan mengurangkan "fakta" bahawa bandar Muar telah ditinggalkan daripada segi pembangunan, kata calon Pakatan Harapan (HARAPAN) di parlimen itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Dalam satu kenyataan hari ini, ketua pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu juga menempelak kenyataan seorang pemimpin kanan Umno, yang secara berkias seakan menyindir beliau sebagai 'anak kucing merah' yang masih 'setahun jagung'.

"Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah menyamakan saya sebagai 'anak kucing' dan 'setahun jagung'.

"Jika Datuk Seri ingin tahu lebih lanjut tentang Muar, Datuk Seri cuba ajukan soalan itu kepada Datuk Seri Razali Ibrahim yang telah memegang Muar selama tiga penggal.

"Rakyat di Muar sudah muak dan dahagakan perubahan. Malah, keadaan di Muar ini tidak mencerminkan status sebagai bandar terpenting di Utara Johor," kata Syed Saddiq.

Beliau mengulas kenyataan Hishammuddin ketika bercakap dalam suatu majlis di Muar awal hari ini yang menyifatkan Syed Saddiq sebagai kurang pengalaman.

"Apa kita hendak takut sangat. Depan kita ini, bukan 'singa merah', 'anak kucing merah' sahaja pun. Kita ini semua 'harimau biru' (BN).

"Dia tak tahu isu di Muar, isu yang perlu dibela di sini. Budak setahun jagung nak ajar isu di Muar. Tidak boleh dibenarkan. Kita mesti tentang habis-habisan," bidas naib presiden Umno itu dipetik Bernama sebagai berkata.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq mendakwa orang Muar melarikan diri ke bandar untuk mencari pekerjaan kerana BN gagal menyelesaikan masalah itu.

"Muar digelar 'bandar pencen' dan tidak ada daya tarikan kepada orang muda. Malah, orang Muar sering kali pergi ke Batu Pahat ataupun Melaka kerana kekurangan kemudahan yang ada di Muar. Pembangunan di Muar terbantut sejak 3 penggal Muar dipegang oleh Barisan Nasional. Komuniti nelayan sudah lama merungut.

"Projek perumahan yang dijanjikan sejak dua tahun lepas hanya tinggal mimpi. Saya tidak perlu cerita lebih banyak lagi masalah kampung di kawasan Sungai Balang yang jauh ketinggalan," katanya.

Syed Saddiq juga berkata tidak kisah digelar 'anak kucing' tetapi yang penting katanya, angin perubahan sedang melanda pengundi Johor.

"Gelarlah saya “anak kucing” atau apa pun tetapi ia tidak menafikan bahawa orang Muar sendiri mengatakan Muar jauh terkebelakang daripada daerah-daerah Johor yang lain.

"Saya percaya angin perubahan sudah bertiup ke Utara Johor. Rakyat sudah mula berani keluar dan meluahkan ketidakpuasan hati mereka. Rakyat Muar adalah pengundi yang bijak dan pasti akan menilai kami dengan telus dan jujur," katanya lagi.

Syed Saddiq berhadapan pertembungan tiga penjuru di Muar bertanding melawan Datuk Razali Ibrahim dari BN dan calon PAS Abdul Aziz Talib.