Ratusan bersetiakawan dengan Tian Chua
PRU14 | Lebih 200 penyokong PKR berkumpul dalam majlis nyalaan lilin sebagai tanda setiakawan dengan Naib Presiden PKR Tian Chua yang dibatalkan kelayakan bertanding bagi Parlimen Batu oleh Jawatankuasa Pilihan Raya SPR.
Mereka menunggu dengan sabar mendengar pesan Tian Chua untuk pilihan raya 9 Mei ini.
Beberapa pemimpin PKR termasuk exco sementara kerajaan Selangor, Elizabeth Wong, bekas ADUN Rawang, Gan Pei Nei dan bekas ahli parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Kee Kwong.
Tian Chua yang muncul lebih awal, dilihat berbual dengan para penyokongnya manakala pemimpin lain menyampaikan ucapan.
Wong (gambar) memberitahu hadirin Tian Chua mempunyai peluang yang baik dalam memohon mahkamah untuk melupuskan keputusan SPR yang membatalkan pencalonannya.

"Kami diberitahu besar kemungkinan bagi kami untuk memenangi kes ini pada hari Khamis, dengan itu masukkan nama Tian Chua ke dalam kertas undi," katanya yang bersambut sorakan orang ramai.
Beliau menggesa orang ramai untuk hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan kepada Tian Chua.
Wong turut mendakwa SPR sebagai 'cawangan Umno' dan bertindak seperti 'samseng'.
"Tindakan SPR itu tidak dianggap bebas dan adil, tetapi sebuah institusi yang bertindak seperti cawangan Umno. Ia bertindak seperti 'samseng upahan'," katanya.

