Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

PRU14 | Walaupun ramai penyokong BN mungkin berasa lega berikutan pengumuman penyandang Parlimen Sepanggar, Datuk Jumat Idris bahawa beliau masih bersama BN, masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada krisis di kawasan itu telah berakhir.

Satu program yang diadakan di rumah Jumat malam tadi menyaksikan lebih seribu penyokongnya hadir.

"Kami sayang pada kau, Datuk!" Jerit seorang penyokong.

"Tatap sokong!" Jerit lainnya pula.

Terdapat ura-ura beliau akan melompat ke Parti Warisan Sabah (WARISAN) berikutan keputusan BN untuk tidak mencalonkan beliau mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar.

Namun akhirnya Jumat menegaskan beliau masih bersama BN.

Manakala itu, seorang penyokong yang hadir malam tadi mengatakan jika Jumat mengumumkan sebaliknya - bahawa beliau keluar BN - maka, semua penyokongnya akan mengikutinya.

"Tanpa dia punya restu, belum tahu BN boleh menang sini," kata seorang anggota Wanita Umno Bahagian dari Sepanggar yang enggan namanya disiarkan itu memberitahu Malaysiakini.

Jumat mungkin telah memutuskan untuk terus bersama BN.

Manakala itu, menteri sementara di jabatan perdana menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang merupakan pilihan BN bagi menggantikan Jumat di Sepanggar membuat lawatan mengejut pada program malam tadi.

Jumat dalam ucapannya berkata beliau yakin dengan Rahman sebagai calon Sepanggar.

"Given a chance I think Rahman can deliver, yakinlah, berikan dia kepercayan.

"Jangan mendengar macam-macam cerita, isu, dalam Islam kita diberi penjelasan, dengar berita kena selidiki," katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak membantah pemilihan Rahman sebagai calon bertanding di Sepanggar kerana beliau dianggap 'baru ke kawasan itu' dan walaupun beliau mungkin dikenali di peringkat nasional, beliau kurang tidak dikenali secara peribadi oleh masyarakat di kawasan itu.

Walaupun tepukan untuk Rahman malam tadi tidak segemuruh yang diberikan kepada Jumat, namun ramai hadirin yang masih menunggu Rahman berceramah sehingga 11 malam menunjukkan mereka masih mahu mendengar ucapan Rahman.

Bukan orang baru di Sepanggar

Ketika berucap, Rahman mengambil kesempatan untuk menegaskan beliau bukanlah yang baru di Sepanggar.

"Saya sudah tinggal di Sepanggar 15 tahun. Rumah saya di King Fisher Sulaman, di DUN Karambunai.

"Sama dengan Jumat, saya dapat mengetahui apa masalah sebelum menjadi calon," katanya.

Beliau juga memberitahu hadirin telah meluluskan peruntukan untuk Sepanggar.

"Lebih daripada RM1 bilion peruntukan EPU (Unit Perancang Ekonomi) saya telah luluskan untuk Sepanggar, terutama untuk masalah lalu lintas," katanya.

Jumat digantung daripada Umno selama tiga tahun pada 2015 selepas beliau mengkritik ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dalam hantaran Facebook.

Sejak itu, beliau juga kritikal terhadap beberapa isu, termasuk pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Menteri komunikasi dan multimedia sementara Datuk Seri Salleh Said Keruak malam tadi berkata beliau telah memberitahu perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak untuk mengembalikan status keahlian parti Jumat yang digantung itu.

Salleh berkata Najib telah bersetuju keahlian Jumaat akan dikembalikan semula.

Jumat menang kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2013 dengan majoriti 9,442 mengalahkan calon DAP Jeffrey Kumin dan dua orang lagi.

Kerusi Sepanggar merupakan kerusi majoriti Islam, dengan lebih 60,000 pengundi terdiri daripada 51 peratus Bumiputera Islam, 26 peratus Cina dan 21 peratus Bumiputera bukan Islam.

 

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS