Pesawat disabotaj? Mahathir kelentong, kata Najib
PRU14 | Pengerusi BN Datuk Seri Najib dalam ucapannya hari ini menempelak pengkritik utamanya calon perdana menteri HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimanapun, sebagaimana kritikan Najib terhadap pengerusi HARAPAN itu sebelum ini, beliau tidak menyebut nama Mahathir secara langsung.
"Tak masuk akal.Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kata tidak ada sabotaj, syarikat kapal terbang Vista (Jet Limited) kata tak ada sabotaj dan juruterbang pun tak ada buat laporan pun tetapi dia masih kata sabotaj, ini apa dia, politik ‘membuyuk’(kelentong)," perdana menteri sementara dipetik Bernama sebagai berkata.
Bernama melaporkan beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 10,000 penduduk yang hadir pada program pemimpin bersama rakyat kawasan Parlimen Kalabakan dan Parlimen Tawau di Padang Perbandaran Tawau di Tawau, hari ini.

Manakala itu, menteri pelancongan dan kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz pula meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana berbohong dengan mendakwa jet peribadinya cuba disabotaj.
"Kalau ada tuduhan sabotaj terhadap sesebuah kapal terbang, kapal terbang itu perlu diletakkan di kawasan yang dikawal untuk memastikan perkara sabotaj tidak berlaku kerana ia boleh menjejaskan keyakinan dunia kepada pengangkutan awam,” kata Nazri dipetik Bernama.
Dalam laporan yang sama, Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula menyifatkan tindakan Dr Mahathir menyatakan pesawat peribadinya disabotaj sebagai sandiwara.
“Sandiwara itu juga bukan sesuatu yang baharu kerana Dr Mahathir sememangnya sudah mempunyai rekod tidak akan mengakui kesilapan sendiri, sebaliknya akan terus meletakkan kesalahan itu kepada orang lain. Beliau akan terus membuat gimik-gimik politik supaya orang bersimpati,” jelas Ismail dipetik Bernama sebagai berkata.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Dr Mahathir masih dialu-alukan untuk memberikan maklumat tambahan kepada polis untuk siasatan sekiranya masih berkeras bahawa pesawat itu cuba disabotaj.
"Jadi kita rasa terkilan dan kecewa bahawa Dr Mahathir cuba eksploitasi isu ini menjadi satu isu politik… gunakan taktik ini untuk menyalahkan kerajaan atau menyalahkan orang lain dan mendakwa mereka mahu mensabotaj dan cuba membunuhnya,” katanya sebagaimana dipetik Bernama.
Bagaimanapun, semalam Dr Mahathir Mohamad bertegas mempertahankan dakwaannya bahawa pesawat terbang yang disewa khas telah disabotaj bagi menghalangnya untuk hadir ke pusat penamaan calon.
Dr Mahathir turut berkata, kerosakan serius pada roda hadapan pesawat itu turut diakui oleh Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi kenyataan lembaga itu, semalam.
“Hari ni CAAM anggap tuduhan saya sebagai serius. Saya tak tuduh CAAM, saya cuma nak nyatakan apa yang berlaku yang diakui oleh CAAM sendiri.
“CAAM tahu pesawat itu tak dapat terbang apakah dia disebabkan sabotaj ataupun tidak, tidak boleh ditentukan oleh CAAM sebelum siasatan tapi saya anggap perkara itu sengaja dibuat kerana ada niat untuk menghalang saya jadi calon di Langkawi,” kata mantan perdana menteri itu.

