BN gempur Sekinchan bagi raih undi Cina
Makanan dan konsert percuma, hologram Perdana Menteri Sementara Datuk Seri Najib Razak serta peluang memenangi motosikal berserta wang tunai RM25,000 - ini sebahagian daripada habuan yang ditawarkan oleh BN Sekinchan kepada penduduk setempat dalam usaha merampas perkampungan nelayan itu daripada DAP.
Malam semalam, sebahagian besar jalan menuju ke pekan Sekinchan ditutup untuk membolehkan konsert jerayawara calon BN diadakan.
Sejam sebelum majlis rasmi bermula, kira-kira 1,500 orang dijamu makanan bufet percuma. Ini termasuk sajian ketam, itik panggang, ayam, laksa dan burger yang ditempah khas.
Ini disusuli dengan ucapan penyandang Ahli Parlimen BN-Umno Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, kepada hadirinnya yang rata-rata adalah masyarakat Cina.

Beliau turut menyelitkan beberapa ungkapan dalam Mandarin. Menamakan dirinya sebagai "Ah Man", dia juga menyanyikan lagu Cina in bertajuk "Besok akan lebih baik".
“Banyak isu sawah padi, (calon DAP) Ng Suee Lim tak boleh selesaikan. Jadi mesti ada Ah Man, saya Budiman, tolong selesaikan.
“Kita bawak nelayan balik dari Indonesia. Kita bantu petani dan nelayan baik-pulih kalong, kita bagi saguhati kepada petani India, petani Cina, petani Melayu kerana sawah padi rosak...
“Kita bantu semua. Ini Sekinchan mesti perlukan masa depan yang lebih baik. Ming tian hui geng hao (esok akan lebih baik),” katanya
Budiman, yang bertanding buat kali kedua di Parlimen Sungai Besar, sebelum ini berkata beliau terlibat dalam mendapatkan pembebasan awal nelayan Chia Kee Chan dari penjara Indonesia.
Calon BN-MCA bagi kerusi Sekinchan adalah seorang Lee Yee Yuan yang berusia 29 tahun. Beliau seterusnya naik ke pentas dan memperkenalkan dirinya sebagai anak tempatan yang komited untuk membawa kehidupan yang lebih baik kepada penduduk setempat.
“Anak muda ini nak membangunkan Sekinchan dengan semua. Anak muda ini, sebab muda, kurang pengetahuan, tapi dari tunjuk ajar dari semua, kita berubah!
“Selain itu, anak muda menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perkhidmatan sebab bagi orang muda perkhidmatan adalah lebih penting daripada bercakap…
“Keperluan rakyat di sini bukanlah (menuntut yang) mewah-mewah, cakap-cakap panjang, janji bulan bintang, ini adalah perkhidmatan yang memang tumpu pada rakyat
“Tentu akan bersama dengan semua, itu rumah tak lari pun, saya anak tempatan, anak jati Sekinchan, tetap akan ada di Sekinchan dengan semua,” kata kata Lee sambil mengagihkan risalah manifesto kepada penonton.
Terdahulu, para penonton mengagumi hologram 3D Najib yang bercakap mengenai janji-janji BN dalam manifesto PRU14.
Para hadirin kemudianyya turut dihiburkan oleh penyanyi yang mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu, Mandarin dan Hokkien sambil diselang-selikan dengan mesej supaya menyokong BN dan MCA.
Fokus malam itu adalah terhadap penganjur majlis berkenaan dan ketua BN Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengumumkan bahawa hadiah utama cabutan bertuah pada malam itu berupa sebuah motosikal berserta wang tunai RM25,000.
Beliau juga berkata BN berjaya mengumpulkan sebanyak RM150,000 dalam bentuk sumbangan daripada hadirin pada majlis itu.
Bercakap kepada Malaysiakini sebelum acara bermula, Jamal menafikan bahawa dirinya mahupun BN yang menaja acara berkenaan dan berkata hadiah cabutan bertuah itu dibiayai oleh perniagaan tempatan.
"Semua penaja adalah kawan saya yang adalah peniaga di Sekinchan," katanya.

