Denggi meragut tiga lagi nyawa, menjadikan jumlah kematian akibat wabak itu setakat tahun ini seramai 81 orang.

Dua kes kematian terbaru itu berlaku minggu lalu. Manakala satu lagi kematian yang berlaku beberapa minggu lalu, baru dimaklumkan kepada pihak kesihatan.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Dr Ramlee Rahmat berkata, kematian terbaru Sabtu lalu membabitkan seorang wanita keturunan India berusia 31 tahun dari Sungai Siput, Perak.

"Dia mula sakit pada 18 Oktober dan mendapat rawatan di Hospital Sungai Siput pada 21 Oktober sebelum dirujuk ke Hospital Ipoh pada hari yang sama. Pesakit meninggal dunia keesokan harinya dengan diagnosis demam denggi berdarah," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Seorang lagi mangsa ialah kanak-kanak lelaki keturunan India berusia empat tahun dari Triang, Pahang, yang mula sakit pada 13 Oktober dan meninggal dunia di Hospital Temerloh pada 19 Okt, juga dengan diagnosis demam denggi berdarah.

Menurut laporan Bernama , Dr Ramlee berkata, mangsa ketiga ialah seorang lelaki berusia 46 tahun dari Taman Rawang Perdana, Selangor yang meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Menurutnya, 1,064 kes disyaki denggi dilaporkan minggu lalu, berbanding 1,172 pada minggu sebelumnya, iaitu turun 108 kes atau 9.2 peratus.

Balik kampung

Kebanyakan negeri mencatatkan penurunan bilangan kes disyaki denggi minggu lalu berbanding minggu sebelumnya, termasuk Selangor (289 berbanding 319), Pulau Pinang (190 berbanding 223), Johor (88 berbanding 99) dan Perak (85 berbanding 93).

Lima negeri mencatatkan pertambahan kes iaitu Kuala Lumpur (114 kepada 128), Sabah (45 kepada 52), Melaka (25 kepada 29), Perlis (7 kepada 9) dan Putrajaya (6 kepada 8).

Setakat 22 Oktober, bilangan kes disyaki denggi di seluruh Malaysia tahun ini mencecah 32,126, dan daripada jumlah itu, 9,381 didapati positif demam denggi manakala 1,634 kes lagi ialah demam denggi berdarah.

Dr Ramlee turut mengingatkan mereka yang balik kampung pada musim perayaan ini supaya memastikan bahagian dalam dan halaman rumah mereka tidak mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik.