Terjemahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa salinan analisis DNA yang diperoleh dari Jabatan Kimia, tidak sesuai untuk pemeriksaan pakar.

Salinan carta "electropherogram" DNA berwarna hitam dan putih itu dikatakan tidak dapat memastikan dengan tepat sama ada mayat di rumah mayat Pusat Perubatan Universiti Malaya itu adalah G Francis Udayappan, tahanan polis yang hilang dari lokap ibu pejabat Polis Brickfileds, Kuala Lumpur tahun lalu.

Siasatan kes tersebut yang sudah berlanjutan lebih setahun, tertangguh sekali lagi apabila Magistret Nazran Mohd Sham yang bertindak sebagai koronor, memerintahkan perbicaraan ditangguhkan bagi membolehkan peguam yang mewakili ibu Francis, G Sara Lily, mendapatkan salinan asal berwarna analisis DNA tersebut.

Peguam Sara Lily, M Puravelan yang menerima salinan analisis DNA hitam putih itu minggu lalu berkata, ketiadaan warna asal serta mutu cetakan yang rendah, menyebabkan pemeriksaan yang tepat tidak dapat dibuat.

"Mutu cetakan salinan analisis itu mesti yang terbaik bagi membolehkan pakar membuat pemeriksaan yang tepat," tegasnya.

'Bahan ujian tercemar'

Puravelan juga menyatakan, kegagalan ujian itu menemui persamaan antara DNA Sara Lily dan mayat yang didakwa anaknya itu, juga disebabkan oleh faktor-faktor lain seperti bahan ujian yang tercemar dan rosak.

Puravelan meminta perbicaraan ditangguhkan bagi memberinya lebih masa untuk mendapatkan salinan asal berwarna analisi berkenaan dari Jabatan Kimia dan mendapatkan pandangan pakar berhubung laporan DNA itu.

Nazran menetapkan tarikh perbicaraan selanjutnya pada 21 Disember depan.

Sara Lily yang menuduh polis mendera anaknya semasa dalam tahanan dan mencampak mayat ke dalam sungai, tetap bertegas bahawa lukisan "tatoo" yang terdapat pada mayat berkenaan, sama dengan yang ada pada tubuh anaknya.

Polis bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut. Sebaliknya polis mendakwa Francis cuba melarikan diri dari lokap dengan terjun ke dalam sungai Klang di belakang ibu pejabat polis Brickfields./ Berita asal