Terjemahan Polis Indonesia telah memberkas seorang wanita di kepulauan Sulawesi kerana menyeludup masuk dari Malaysia, sejumlah besar bahan yang boleh digunakan untuk membuat bom.

Wanita itu ditangkap pada 16 Oktober lalu di pekan Parepare di selatan wilayah Sulawesi, kata jurucakap polis republik itu, Sunarko Danu Ardanto.

Dia adalah orang kelima ditahan dalam kes tersebut.

Tiga lagi wanita dan seorang lelaki telahpun diberkas kerana didakwa menyeludup masa beratus kilogram ammonium nitrate dari Sabah minggu lalu. Mereka ditangkap secara berasingan di bandar Nunukan di sempadan Kalimantan Timur.

Ardanto berkata, polis turut merampas sejumlah 389.5 kilogram ammonium nitrate , 900 alat peledak dan 20 wayar dari kelima mereka.

Menurutnya lagi, polis Indonesia sedang menjalan siasatan bersama polis Malaysia dan sehingga ini belum dapat dipastikan tujuan mereka memiliki bahan tersebut.

Ammonium nitrate digunakan untuk membuat bahan letupan dan membuat baja.

Polis berjaga-jaga

Polis Indonesia telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan kejadian letupan bom pada 1 Oktober lalu di pulau peranginan Bali, yang mengorbankan 20 orang beserta tiga penyerangnya.

Para pegawai berkata, mereka mengesyaki Noordin Mohammad Top dan Azahari Husin dua rakyat Malaysia yang menjadi anggota Jemaah Islamiah (JI), merancang letupan tersebut.

Seorang pakar mengenai JI berkata, kedua-duanya mungkin telah mewujudkan kumpulan mereka sendiri berikutan berlakunya perpecahan dalam JI, berikutan siri letupan yang turut mengorbankan ramai orang Islam.

Pihak berkuasa percaya, Noordin dan Azahari memainkan peranan utama dalam pengeboman Bali pada tahun 2002 yang membunuh 202 orang, dan serangan berani mati ke atas sebuah hotel dan Kedutaan Australia di Jakarta.