Terjemahan Wakil pelajar universiti hari ini menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya bertindak segera terhadap 'tindak balas' pihak berkuasa kampus di seluruh negara terhadap tindakan pelajar memulaukan pilihanraya kampus baru-baru ini.

Kira-kira 30 pelajar berdialog dengan Suhakam di ibu pejabat suruhanjaya itu, untuk mengemukakan apa yang mereka dakwa 'salahguna' kuasa oleh pihak berkuasa universiti.

Mereka mendakwa tindakan disiplin telah diambil terhadap pelajar berikutan pembabitan mereka dalam pilihanraya kampus bulan lalu, melanggar hak asasi manusia.

Sewaktu dialog tersebut, mereka meminta Suhakam mengeluarkan kenyataan berhubung perkara tersebut, menghantar pemerhati menghadiri sesi siasatan serta mengadakan perbincangan dengan naib-naib canselor serta para pelajar..

Tiada tindakan segera

Bagaimanapun, Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Abdul Munir Yaakob berkata, permintaan mereka itu akan dibincangkan dalam mesyuarat suruhanjaya tersebut pada 11 November depan sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

Beliau memberitahu pelajar berkenaan bahawa Suhakam mesti mengesahkan terlebih dahulu dakwaan mereka, mendapatkan penjelasan dari pihak berkuasa kampus serta mengumpul bukti sebelum mengambil sebarang tindakan.

Apabila para pelajar berkenaan terus menerus mendesak supaya tindakan segera diambil, Abdul Munir berkata, beliau akan memaklumkan perkara itu kepada Pengerusi Suhakam, Tan Sri Abu Talib Othman secepat mungkin, kerana beliau (Abu Talib) mempunyai kuasa untuk menghantar pemerhati menghadiri sesi siasatan tersebut.

"Tetapi kita masih perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa kampus," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis dialog tersebut, sambil menambah yang Suhakam sering menghadapi masalah berurusan dengan pihak berkuasa kampus.

"Apabila kita mengadakan pertemuan dengan timbalan para naib canselor, mereka berkata, kata putus di tangan naib canselor, jadi mereka tidak boleh membuat sebarang keputusan. Apabila kita menghubungi naib canselor, mereka pula berkata kuasa tersebut terletak di tangan menteri pengajian tinggi.

"Kita akan mengadakan pertemuan dengan menteri mengikut prosidur yang betul," katanya.

Gugur semua tuduhan

Mengikut para pelajar terbabit, lapan rakan mereka dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), telah dikenakan tindakan disiplin mengikut Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan pelbagai peraturan universiti.

Dua pelajar dari UM telah didakwa atas tuduhan mengedar kertas kajian mengenai kebajian pelajar. Seorang daripada mereka, Karim Abdul Rahim yang didakwa dibelasah oleh pegawai universiti sebelum berlangsungnya pilihanraya kampus lalu telah membuat laporan polis.

Seorang lagi pelajar, Zainulfaqar Yaacob, didakwa berkelakuan biadap terhadap seorang pegawai universiti serta mengganggu tugasnya. Seorang pelajar USM didakwa mengedarkan risalah 'manifesto pelajar'.

Di UPM, empat orang pelajar didakwa atas pelbagai kesalahan seperti menghasut pelajar lain supaya memulaukan pilihanraya kampus serta menyertai perarakan bantahan di Parlimen dan ibu pejabat Suhakam. Empat lagi pelajar UPM dijangka dikenakan dakwaan yang sama.

Ketika ditemui, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysiaq(SMM), Ahmad Rifauddin, berkata semua dakwaan tersebut patut digugurkan.

Pilihanraya kampus bulan lalu yang dicemari dengan pelbagai dakwaan penyelewengan di semua 17 universiti awam di seluruh negara, dimenangi oleh kumpulan pro-kerajaan.

Pemulauan pilihanraya kampus berlaku lima buah universiti utama./ Berita asal