Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Merdeka Centre: HARAPAN makin hampir tawan Johor
Diterbitkan:  May 2, 2018 6:37 PM
Dikemaskini: 10:42 AM

PRU14 | Pengarah eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata tinjauan awal menunjukkan Pakatan Harapan semakin hampir untuk mencapai sasarannya menawan negeri Johor.

Menurut Ibrahim pada masa ini, BN masih menang tetapi pertandingan itu dijangka "sengit" semasa minggu terakhir berkempen.

"Kami mempunyai kaji selidik kira-kira 700 responden yang dilakukan sehingga pada malam tadi. Daripada penemuan awal, kami mendapati HARAPAN telah mendapat tambahan undi Melayu dan undi Cina masih kekal sama.

"Pertambahan sokongan itu mencapai titik di mana mereka semakin hampir ke ambang kemenangan, tetapi buat masa ini, (kami mendapati) BN tetap menang.

"Ia akan menjadi pertandingan yang sangat sengit dalam masa seminggu ini," katanya dalam seminar di Kuala Lumpur petang ini.

Majlis seminar itu merupakan Siri Seminar IKMAS-Merdeka Centre mengenai Pilihan Raya Umum ke-14 berjudul “The Battleground States” (Negeri-negeri yang menjadi medan tempur).

Ibrahim berkata beliau berharap dapat menerbitkan data mengenai kaji selidiknya itu dalam masa beberapa hari lagi memandangkan kajian masih dijalankan.

Minggu lalu, Ibrahim telah menerbitkan data kajian mengenai Johor yang dibuat sehingga 9 April.

Menurut kaji selidik Merdeka Centre itu, undi popular adalah 47 peratus untuk BN dan 42 peratus untuk HARAPAN manakala PAS pula adalah 11 peratus.

Bagi HARAPAN, peratus yang menyokong gabungan pembangkang itu adalah 19.4 peratus Melayu, 77.6 peratus Cina dan 32.7 peratus India.

Pada ketika itu, beliau berkata bagi HARAPAN berpeluang secara realistik untuk memenangi Johor, gabungan tersebut memerlukan sokongan 10 peratus lagi undi Melayu dan sokongan lima peratus undi Cina di negeri ini.

Lihat Komen
ADS