Sekurang-kurangnya tiga anggota polis terbunuh ditetak dengan parang dalam pertempuran dengan puluhan pengikut dan penyokong guru ajaran sesat yang menggelar dirinya "Imam Mahadi", di sebuah kampung di wilayah Sulawesi Tengah, petang semalam.

Turut terbunuh ialah seorang pengikut ajaran sesat itu yang berpusat di daerah pergunungan Kampung Salena Buluri, daerah Palu Barat, dalam kejadian yang dikatakan bermula pada jam 2 waktu Indonesia Barat.

Media massa tempatan petang ini melaporkan bahawa kejadian itu bermula apabila sepasukan 16 anggota polis dari balai polis Palu dan Palu Barat cuba menangkap guru ajaran sesat itu untuk dibawa ke balai polis untuk disiasat berikutan aduan orang ramai mengenai ajaran sesatnya.

Bernama yang memetik lamanweb berita detiknews , melaporkan bahawa guru ajaran sesat itu tidak mahu diperiksa polis dan membantah keras ketika polis cuba membawanya ke balai untuk disiasat, sehingga mengakibatkan pengikut dan penyokongnya mengamuk.

Pengikut dan penyokong guru ajaran sesat itu yang berjumlah kira-kira 90 orang menghalang polis sehingga menimbulkan ketegangan dan polis terpaksa melepaskan tembakan apabila kumpulan pengikut ajaran itu menyerang polis dengan parang dan golok.

Leher terkulai ditetak

Ketua Polis Palu Barat Bayu Wijanarko yang dapat menyelamatkan diri walaupun kepalanya luka terkena parang, mengesahkan kejadian itu dan berkata beliau sempat melihat beberapa anggotanya ditahan oleh pengikut ajaran sesat itu dengan seorang daripadanya terkulai leher akibat ditetak.

"Saya melihat sendiri rakan saya itu ditahan, dengan keadaan lehernya hampir putus terkena tetakan parang," katanya dalam laporan detiknews .

Petang semalam, beberapa anggota polis yang belum dapat ditentukan bilangannya dikatakan telah dilarikan oleh pengikut ajaran sesat itu ke gunung dan dijadikan orang tahanan.

Menurut stesen radio tempatan, polis di Palu masih menunggu bantuan anggota tambahan dan senjata dari luar sebelum masuk ke kawasan gunung itu untuk mencari dan menyelamatkan anggotanya yang dijadikan tawanan.

Penduduk setempat gelisah dengan ajaran sesat itu kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam termasuk tidak berpuasa di bulan Ramadan manakala semua ahlinya memakai ikat kepala berwarna putih dan berselempang kuning.