Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jempol jadi petanda apakah tsunami Melayu bakal landa NS

PRU14 | Terletak pada jarak sejam pemanduan dari Seremban, Jempol - kerusi parlimen terbesar di Negeri Sembilan - akan menjadi ukuran sama ada tsunami Melayu akan melanda Negeri Sembilan.

Kerusi Parlimen itu mengandungi empat kerusi DUN - Serting, Palong, Jeram Padang dan Bahau. Komposisi pengundi pula ialah 64 peratus Melayu, 23 peratus Cina, 12 peratus India dan satu peratus lain-lain.

Jempol mempunyai sejumlah 14 puasat pengundian daerah (PDM) Felda, yang terbanyak di kalangan lapan kerusi Parlimen di negeri itu.

Di tengah-tengah paparan kekuatan kuat pembangkang pada pilihan raya umum lalu, Umno masih mampu mempertahankan Jempol dengan hanya dengan 6.9 peratus undi majoriti - terima kasih kepada undi yang diperolehinya di kawasan Felda.

Ia adalah kali pertama undi popular BN merudum ke bawah paras 60 peratus sejak kerusi parlimen itu diwujudkan pada 1986.

Ketika itu, semasa PAS masih menjadi anggota Pakatan Rakyat, ia hanya memperoleh 5,359 undi di 14 PDM Felda di Jempol, manakala Umno mendapat 18,794 undi.

Ini membantu orang kuat Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 8,614 undi. Isa juga adalah bekas pengerusi Felda dan FGV.

Bagaimanapun, sejak itu, banyak yang telah berubah.

Kenaikan kos sara hidup, pelbagai skandal membabitkan Felda dan kejatuhan saham FGV dan ditambah pula dengan Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui BERSATU, undi di kawasan Felda tidak lagi dianggap sebagai deposit tetap untuk BN.

Seminggu sebelum hari penamaan calon pada 28 April, ceramah bertema Felda di Air Mawang, Johol, yang menampilkan Mahathir, menarik kira-kira 2,000 hadirin.

Johol adalah kerusi negeri di bawah Kuala Pilah. Tempat itu terletak kira-kira 40km dari bandar Bahau di Jempol.

Ketika tempoh berkempen memasuki hari keempat, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa HARAPAN yakin akan merampas sekurang-kurangnya 20 kerusi parlimen dalam kawasan Felda.

Selain dari Jempol, BERSATU juga akan bertanding di kerusi Parlimen Kuala Pilah.

BERSATU juga meletakkan calon untuk kerusi DUN Palong di bawah Jempol. Manakala tiga lagi kerusi negeri akan ditandingi oleh rakan-rakan HARAPAN - Serting (AMANAH), Jeram Padang (PKR) dan Bahau (DAP).

Sehari sebelum hari pencalonan, ketua BERSATU bahagian Kuala Pilah Kamarulzaman Kamdias, yang telah bersedia untuk bertanding di kerusi Kuala Pilah, dimaklumkan beliau sebaliknya akan dicalonkan di Jempol, menggantikan pengerusi negeri dan ketua Jempol, Baharuddin Ahmad.

Dilihat sebagai calon "payung terjun", cabaran pertama Kamarulzaman adalah untuk menggerakkan jentera tempatan berikutan pertukaran pada saat-saat akhir itu, telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan akar umbi.

Akibatnya, calon itu tsebaliknya terpaksa menghabiskan beberapa hari pertama tempoh berkempen untuk berusaha meredakan situasi dalaman parti.

Cabaran lain bagi Kamarulzaman adalah bagaimana untuk memenangi hati dan minda pengundi, terutamanya pengundi Melayu yang menghargai sentuhan peribadi, dalam masa yang singkat sebelum 9 Mei.

Pada hari ketiga kempen, beliau mengunjungi pasar di Palong 4 dan memperkenalkan dirinya sebagai calon. Penerimaannya sangat menggalakkan.

Selepas Kamarulzaman beredar, seorang penjual berusia 64 tahun, yang ingin dikenali sebagai "Pak Nga", mendedahkan bahawa dia adalah penyokong BN pada masa lalu tetapi memutuskan untuk mengundi HARAPAN pada PRU14 ini.

Dia mendedahkan bahawa anaknya, walaupun mempunyai ijazah, tidak dapat mencari pekerjaan di bawah iklim ekonomi semasa dan terpaksa bekerja di sebuah kilang di Johor.

Dua penduduk tempatan, seorang vendor minyak wangi dan pekerja kedai runcit, yang tidak mahu disebutkan namanya, turut berkongsi sentimen yang sama, mengadu tentang kos sara hidup dan betapa sukarnya untuk memenuhi keperluan hidup.

Ketiga-tiganya adalah pengundi di tanah rancangan Felda. Dalam PRU13, Umno memperoleh 1,000 undi daripada 1,404 undi dalam PDM ini, manakala PAS hanya mendapat 404 undi.

Bagi sembilan PDM Felda di bawah Palong, BN memperoleh 11,023 undi dan PAS 2,620 undi.

Semasa kunjungan Kamarulzaman di Palong, calon PAS Jempol Mustaffa Daharun juga mengedarkan risalah dan manifesto parti itu di tempat yang sama. Mereka mengambil gambar bersama.

Calon pertama kali Mustaffa, 45, adalah penduduk tempatan dan mengajar di sekolah agama. Dia telah bekerja di peringkat akar umbi sejak Mac lalu.

Dalam PR lepas, PAS bertanding tiga kerusi parlimen dan 12 kerusi negeri di Negeri Sembilan tetapi gagal memenangi satu pun. Dengan ramai di negeri ini yang menyertai parti AMANAH, parti PAS tidak dianggap sebagai pesaing serius kepada BN dan HARAPAN.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS