Calon BN bagi kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed mendakwa hasil kaji selidik oleh Merdeka Centre semalam yang menunjukkan Pakatan Harapan semakin hampir mencapai sasaran menawan Johor tidak menggambarkan keadaan yang sebenar.

“Kajian melibatkan 700 responden yang mengatakan Melayu semakin tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dan pihak pembangkang boleh menang di Johor tidak menggambarkan keadaan yang sebenar kerana keadaan di lapangan adalah berbeza.

“Itu hanya rumusan dibuat secara rambang di seluruh negara. Melihatkan sambutan yang diterima hari ini, ini menunjukkan keadaan yang sebaliknya dan masyarakat nampak mesra dengan saya.

“Jadi, saya tidak rasa ada tsunami Cina atau Melayu di Parlimen Pulai,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia Online.

Semalam, Pengarah Eksekutif Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata tinjauan awal menunjukkan HARAPAN semakin hampir untuk mencapai sasarannya menawan Johor tetapi pada masa ini, BN masih menang.

Menurutnya, penemuan awal mendapati HARAPAN telah mendapat tambahan undi Melayu dan undi Cina masih kekal sama.

"Pertambahan sokongan itu mencapai titik di mana mereka semakin hampir ke ambang kemenangan, tetapi buat masa ini, (kami mendapati) BN tetap menang.

"Ia akan menjadi pertandingan yang sangat sengit dalam masa seminggu ini," katanya.