Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

PRU14 | Kedudukan penyandang kerusi Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mampu digugat mana-mana gabungan parti, baik BN mahu pun Pakatan Harapan (HARAPAN).

Kesukaran menawan kerusi parlimen itu diakui sendiri Pengerusi HARAPAN Marang, Aidi Ahmad dan beliau berpendapat nasib yang sama turut dihadapi BN.

“Saya rasa untuk di parlimen, PAS masih lagi mendominasi kelebihan untuk pilihan raya melalui Hadi.

"Semua orang sedia maklum, walaupun sekarang ini PAS bersendirian tapi di Marang ini peratusan ahli PAS akan memihak kepada HARAPAN atau BN masih lagi di peringkat yang minima,” katanya.

Bagaimanapun katanya, walaupun peluang lebih memihak kepada Hadi namun parti Islam itu tidak boleh merasa selesa apabila berdepan tiga penjuru.

“Kehadiran HARAPAN di Marang sekurang-kurangnya dapat mengurangkan jumlah majoriti yang dimenang PAS,” katanya.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen Marang pula, beliau berpendapat nasib PAS mungkin berbeza dan berkemungkinan paling tidak satu kerusi akan tewas iaitu Alur Limbat.

“HARAPAN walaupun sukar menawan parlimen Marang, tapi kita yakin dapat merampas kerusi Pengkalan Berangan dari BN dan Alur Limbat yang dimenangi PAS,” katanya.

Perlu kerjas keras

Aidi yang juga calon HARAPAN bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk kerusi DUN Pengkalan Berangan berkata calon Parti Amanah Negara (AMANAH) di Parlimen Marang Dr Zarawi Sulong perlu berkerja keras memujuk penyokong PAS menolak Hadi.

“Untuk lebih menyakinkan penyokong PAS ini HARAPAN melalui AMANAH kena lebih lagi berusaha menerangkan apa yang terjadi termasuklah hubungan PAS dengan BN sekarang semakin mesra,” katanya.

Mengakui laluan sukar, Zarawi tetap optimis dan berpendapat tiada yang mustahil berlaku memandangkan presiden PAS itu pernah tewas sebanyak dua kali di Marang.

“Perkembangan politik Marang ini adakalanya Umno dan PAS silih berganti sama ada menang atau kalah, 1990 Umno menang, 2004 pun Umno menang. Jadi dalam politik ini tidak ada perkara mustahil yang boleh berlaku.

“Walaupun kita dalam kedudukan terkecil dan terkebawah maka dengan hasrat perjuangan yang lebih utuh memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat kita yakin dan percaya kita dapat mendominasikan politik dalam PRU14 ini,” katanya.

PRU lalu, Hadi menang di Marang menewaskan calon BN Yahya Khatib Mohamad dengan kelebihan majoriti 5124 undi.

Hadi memenangi kerusi Marang sejak 1986 tetapi pernah tewas sebanyak dua kali pada PRU 1990 dan 2004.

Selain Zarawi, Hadi akan ditentang calon BN Mohamad Nor Endot.

Lihat Komen
ADS