Kerajaan negeri sedang membuat bancian semula bagi mengenal pasti jumlah setinggan yang tinggal di Jalan Papan, Pandamaran Pelabuhan Kelang, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran, Datuk Teh Kim Poo.

Beliau berkata, bancian tersebut penting bagi memudahkan proses pemindahan dibuat kerana rumah mereka akan dirobohkan selaras dengan dasar 'sifar setinggan' kerajaan negeri.

"Bancian tersebut juga untuk mengenal pasti dakwaan bahawa jumlah penduduk di kawasan itu telah bertambah. Bancian pada tahun 2001 oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) mendapati ada 511 rumah setinggan di kawasan tersebut.

"Ada yang mendakwa jumlah rumah setinggan mencapai 700 buah. Bagaimanapun, bancian ini akan menentukan jumlah sebenar," katanya.

Teh berkata, tanah seluas 69 ekar itu milik kerajaan negeri dan diberikan kepada sebuah anak syarikat Bank Negara iaitu TPPT Sdn Bhd untuk dimajukan projek pembangunan bercampur termasuk pembinaan rumah dan lot kedai.

Katanya, penduduk diberi tempoh hingga akhir Disember ini untuk berpindah dan jika gagal, MPK akan merobohkan rumah mereka. Setakat ini kira-kira 300 rumah setinggan telah dirobohkan.

Lesen TOL

Sementara itu, jurucakap MPK berkata, status Lesen Menduduki Sementara (TOL) yang diberikan kepada setinggan terbabit telah ditarik balik pada tahun 1995.

Katanya, kerajaan negeri telah menawarkan flat kos rendah kepada penduduk terbabit di Bukit Tinggi 2, Kelang sejak tahun 2002 tetapi mereka menolak.

"Kerajaan juga menawarkan untuk memberi pampasan sebanyak RM7,000 kepada satu keluarga atau membeli flat terbabit dengan harga RM35,000 seunit," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Penduduk Jalan Papan, Ang Mah Chye (foto) mendakwa tanah berkenaan adalah milik penduduk sebagaimana yang dijanjikan oleh beberapa pemimpin kerajaan negeri Selangor kepada mereka.

Beliau berkata, pekerja MPK sudah merobohkan sebahagian rumah penduduk kampung yang didakwa cuba menakut-nakutkan mereka supaya cepat berpindah.

Beliau mendakwa, Teh tidak membuat apa-apa untuk membantu penduduk mengatasi masalah tersebut.

"Kami juga menemui pegawai TPPT serta MPK untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu tetapi tidak mendapat jawapan yang memuaskan," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini penduduk ditawarkan pampasan RM7,000 supaya berpindah tetapi mereka menolak kerana mahu TPPT membayar sewa rumah sehingga rumah baru siap dibina.