Dr M: Saya masih boleh bercakap selama sejam
PRU14 | Menjelang hari mengundi pada 9 Mei, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) yang juga pencabar bagi kerusi parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad masih bersemangat dan tidak berhasrat untuk berhenti berkempen dalam masa terdekat.
"Di Kuantan, saya bercakap selama satu jam. Sebelum ini saya bercakap selama satu jam kerana saya masih muda.
"Sekarang saya sudah tua saya masih boleh bercakap selama satu jam, saya ingin mencari seorang lagi 93 tahun yang sanggup bercakap selama satu jam," kata Mahathir.
Bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa sidang akhbar bersama Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini .
Kadang-kala beliau dilihat berhenti sejenak untuk meneguk segelas air selepas percakapannya terganggu akibat batuk.
Ditanya mengenai kesihatannya, Mahathir tertawa dan berkata batuknya akan berhenti apabila beliau berkempen di seluruh negara.
Walaupun mengakui berkempen menjejaskan tahap kesihatannya, Mahathir dilihat masih memiliki minda yang tajam.
"Ia sangat meletihkan tetapi saya masih selamat. Saya boleh jawab soalan kamu. Bolehkah kamu bayangkan?" katanya sambil tersenyum.
Apabila ditanya untuk menjelaskan umurnya secara tepat, Mahathir berkata, "Saya akan berumur 93 pada 10 Julai. Sila tengok hari lahir saya."

