Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Apakah gelombang hijau yang pernah diuar-uarkan itu akan menjadi benteng pertahanan PAS untuk kekal dianggap relevan di mata pengundi pada 9 Mei ini?

Apakah ada bayu yang nyaman dan lunak untuk PAS Kelantan bertiup dari Pantai Irama, Bachok?

Atau mungkin jejak-jejak 'haruman' Chempaka menjadi puisi magis mengubah landskap siasah di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga?

Saya sedang cuba menikmatinya.

Selepas meneliti barisan calon dan kempen parti-parti yang bertanding di Kelantan untuk pilihan raya umum (PRU) ke-14, memang terhidang sesuatu yang menarik untuk dinikmati.

Pedulilah sama ada mereka itu calon nomad, kitar semula, muka baru, muka lama atau apa pun.

Bacaan politik setiap orang biasanya berbeza. Isu yang lebih penting ialah bagaimana kita mahu meraikan perbezaan itu.

Faktor pecahan undi

Saya tertarik dengan keberadaan Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang menjadi sandaran PAS di parlimen Bachok.

Kerusi parlimen itu dimenangi PAS dengan majoriti paling tipis pada PRU lalu. Malah sejarah menunjukkan Bachok pernah mengecewakan ayahanda Nik Abduh, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 1986.

Secara umum, Bachok yang popular dengan industri tembakau suatu masa dulu bukan kerusi selamat untuk PAS walaupun peluang untuk menang itu tetap ada.

Cuma, peluang menang itu bukan untuk PAS saja.

Ia akan bergantung kepada sejauh mana pecahan undi antara parti akan berlaku, penilaian prestasi Nik Abduh ketika menjadi wakil rakyat di Pasir Mas sebelum ini dan gelombang semasa politik arus perdana.

Dengan persaingan tiga penjuru di kerusi tersebut, Nik Abduh paling selesa berbanding Datuk Dr Awang Adek Hussin sebagai calon BN dan Zulkifli Zakaria mewakaili Pakatan Harapan (HARAPAN).

PAS mempunyai pengundi tegar yang akan memangkah berdasarkan parti semata-mata biar pun betapa hebat ribut dan taufan melanda.

Begitu pun, kecenderungan pengundi Umno dan kemunculan HARAPAN masih sukar diramal.

Namun, peluang untuk melihat Nik Abduh duduk dan bangun di Dewan Rakyat selepas PRU ke-14 ini sedikit membimbangkan.

BN akan melihat sejauh mana pengaruh HARAPAN dengan hipotesis semakin kuat pengaruh HARAPAN, semakin cerah peluang mereka Awang Adek menang.

HARAPAN lebih dilihat menjadi pencuri undi PAS berbanding kemampuan menguasai hati pengundi BN yang nampaknya tidak ketara.

Pilihan pengundi atas pagar

Seterusnya ramai yang tertarik dengan kemunculan seorang lagi Nik anak kepada almarhum Nik Abdul Aziz, iaitu Nik Omar.

Dia menjadi taruhan HARAPAN di DUN Chempaka.

Aura pengetua Maahd Darul Anuar itu berkembang dengan drastik walaupun ditempias dengan pelbagai spekulasi khususnya isu-isu kekeluargaan.

Mungkin ramai beranggapan kerusi tersebut sebagai berpihak kepada Nik Omar yang dilihat mewarisi legasi Tok Guru.

Hakikatnya tidak semudah itu. Chempaka kubu kuat PAS yang sudah tertanam dengan doktrin politik PAS dan ia sesuatu yang sukar untuk dipecahkan.

Boleh diakui dengan menggunakan aura Nik Omar HARAPAN ada harapan, sayangnya aura itu tidak terlalu berbaloi dengan mempertaruhkan DUN Chempaka semata-mata.

Keberadaan Nik Omar yang menjadi gelombang dan lautan hingga ke Putrajaya tidak menjamin undi di kawasan yang ditandinginya.

Saya berpendapat, Nik Omar sewajarnya menjadi taruhan di kerusi parlimen Pengkalan Chepa dan DUN Chempaka sekali gus kerana ia akan memberi gambaran betapa tokoh agama itu mencabar percaturan pihak lawan dengan hebat sekali.


Baca Husam: PAS pernah tolak Nik Omar, Nik Abduh di Chempaka


Sebagai contoh mudah, jika seorang pengundi atas pagar di DUN Panchor (satu lagi kerusi di bawah Pengkalan Chepa) yang tertarik kepada Nik Omar, dia masih boleh memberikan undinya kepada anak kedua Nik Abdul Aziz itu.

Pengundi atas pagar yang ditemui di kalangan kenalan spesis tidak peduli parti menyatakan mereka berkongsi pendapat dengan saya.

Tetapi itulah, pemerhatian kita hanya di pinggir gelanggang berbanding percaturan mereka yang mungkin 'pening kepala' sejak sekian lama untuk pengagihan kerusi kepada calon-calon.

Justeru, dengan ruang kempen yang sedia ada saya melihat Nik Omar belum cukup mampu menguasai Chempaka berbanding calon PAS yang memberi sepenuh masa di situ.

Dan sesungguhnya pada Allah jualah penentu sebaik-baik kejadian awal dan akhir.

Lihat Komen
ADS