Najib tak rela mencaci-maki walau musuh mengeji
PRU14 | Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak mahu mengambil pendekatan berhemah ketika berkempen ketika pencabarnya didakwa menentang gabungan itu dengan cara tidak sepatutnya.
Bercakap di depan kira-kira 500 orang, Najib berkata BN akan terus memilih untuk bercakap secara berhemah semasa menerangkan agenda parti membangunkan negara.
“Saya tak pilih pendekatan mengutuk, mencaci atau pun mengeluarkan kata-kata kesat. Sepatutnya saya boleh (berbuat begitu) sebab yang menentang saya mengamalkan cara begini.
“Tapi saya memilih bercakap secara berhemah dan menerangkan kepada tuan-tuan agenda kita, kerana politik bukan harus berkisar pada nilai moral yang begitu rendah sekali.
"Kita patut berkisar kepada agenda untuk rakyat, agenda kita untuk masa depan negara, agenda transformasi dan perubahan.
“Siapa ada agenda lebih baik lagi, siapa ada agenda diyakini, siapa sebenarnya yang boleh deliver (melaksanakan) perubahan dan transformasi yang dihasratkan - itu sebenarnya kayu pengukur muktamad dalam apa yang kita nak lakukan,” katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis malam santai industri pelancongan Langkawi di Dewan Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi malam ini.
Umum 18 inisiatif baru
Turut hadir Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Petang tadi, Najib tiba di Langkawi untuk berkempen di Pulau yang terkenal dengan legenda Mahsuri.
Kawasan pusat pelancongan ini antara yang paling panas pada PRU ke-14 ini kerana menyaksikan kemunculan semula bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam politik secara langsung.
Beliau bertanding untuk mencabar penyandang kerusi parlimen Langkawi Datuk Seri Nawawi Ahmad. Turut menyertai saingan itu ialah calon PAS Zubir Ahmad.
Najib dalam ucapannya turut mengumumkan 18 manfaat untuk sektor pelancongan Langkawi yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Katanya, manfaat itu diberikan kerana BN mahu menumpukan agenda pembangunan sektor pelancongan kepada penduduk di pulau berkenaan.
“Saya sebagai perdana menteri mewakili BN amat komited untuk masa depan pulau Langkawi. Inilah mesej utama kita dan untuk menyokong komitmen ini.
“Saya akan bentangkan beberapa inisiatif terbaru yang saya akan bentang dan huraikan sebagai apa yang akan kita lakukan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya.
Baca Menanti nasib 'Mahsuri' di tangan pengundi
Lapan belas manfaat itu antaranya membina Pusat Transformasi Bandar (UTC) pertama di pulau legenda itu.
Selain itu kata Najib BN juga akan mewujudkan litar motorcross bagi melonjakkan kegemilangan Langkawi dalam bidang permotoran di peringkat antarabangsa.
Najib berjanji kerajaan juga akan memperbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi serta membenarkan hanya perkhidmatan teksi beroperasi mengambil dan menurunkan penumpang di situ.
Najib berkata, 18 perkara itu dapat direalisasikan sekiranya rakyat di Langkawi memberi sokongan kepada BN.

