Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Keluarga istimewa tegar sokong Zambry di Pangkor

PRU14 | Lebih kurang 60 motosikal yang ditunggang penduduk kampung Pulau Pangkor mengiringi kereta calon Umno Pangkor Datuk Seri Zambry Abd Kadir yang berkempen di tempat kelahirannya.

Orang kampung yang memakai baju biru BN dilihat mengiringi Zambry ketika berjalan menemui penduduk kampung.

Sementara penunggang motosikal yang juga memakai baju BN mengiringi keretanya dengan bendera BN di belakang motor masing-masing.

Malah, hampir setiap sudut di kawasan pulau itu dihiasi bendera BN.

Berdasarkan tinjauan Malaysiakini, kebanyakan penyokong BN berkenaan merupakan penduduk setempat yang tinggal di kawasan berhampiran.

Jelajah Zambry di pulau itu bermula seawal jam 9 pagi dan beliau melawat sekurang-kurangnya 10 kampung dalam sehari.

Antara lokasi yang disinggahinya termasuklah Sungai Pinang Kecil, Sungai Pinang Besar, Pasir Bogak, Teluk Dalam, Kampung Tengah, Kampung Teluk Gedung dan lain-lain.

OKU tidak ketinggalan

Sepasang suami isteri, Abdul Razak Omar, 45 dan Rohana Abdullah, 45 yang merupakan golongan kelainan upaya tidak ketinggalan menyertai rombongan penyokong Zambry.

Abdul Razak yang lahir dengan kecacatan pada kaki dilihat menunggang motosikalnya yang diubah suai sambil membawa isterinya yang tidak dapat berjalan akibat penyakit saraf.

Tiga orang anak saudara pasangan itu turut menyertai mereka.

Ketika ditemu bual, pasangan yang tinggal di Kampung Teluk Gedung dan bekerja sebagai tukang jahit itu berkata, mereka menyertai rombongan penyokong Zambry (gambar) untuk memberi semangat kepadanya.

Menurut Abdul Razak, dia dan isterinya bercuti untuk membantu kempen pilihan raya seperti menjahit bendera BN.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Shah, 28, turut dilihat membawa dua anaknya menyertai kempen Zambry.

Ketika ditemu bual, beliau berkata Zambry seorang pemimpin yang prihatin dengan keperluan penduduk di Pulau Pangkor dan sering membantu sesiapa sahaja yang menghadapi masalah.

"Sekarang ada banyak perubahan dan pembangunan di Pangkor. Kalaupun dia (Zamry) jadi menteri, saya yakin dia tidak akan tinggalkan Pangkor," katanya.

Pangkor dan Pasir Panjang adalah kerusi DUN di bawah parlimen Lumut. Zambry yang merupakan penyandang DUN Pangkor akan bertanding kali keempat untuk mempertahankan kerusi itu.

Selain itu, Zambry juga akan bertanding di kerusi parlimen Lumut dalam pertembungan tiga penjuru menentang calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Dr Hatta Ramli dan calon PAS, Mohamed Zambri Ibrahim.

Pada PRU lalu, calon PKR Mohamad Imran Abd Hamid berjaya menewaskan calon MCA Kong Cho Ha dengan 8,168 majoriti undi.

Lumut adalah kerusi pengundi Melayu majoriti dan ratio pengundinya pada PRU ini adalah Melayu 72 peratus, Cina 15 peratus, India 11 peratus dan lain 1 peratus.

Semalam, Dr Hatta mengadakan ceramah kelompok di rumah pusakanya yang berusia 80 tahun di Kampung Pasir Panjang Laut, Lumut dan berjaya menarik kehadiran kira-kira 100 penduduk setempat

Lihat Komen
ADS