Tugu peringatan yang dibina oleh masyarakat Vietnam Seberang Laut di Pulau Bidong di luar pantai Terengganu untuk mengingati "orang hanyut" yang terkorban ketika dalam perjalanan meninggalkan Vietnam Selatan yang ketika itu yang dilanda perang, telah dirobohkan.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Pengguna dan Perpaduan Negeri, Toh Chin Yaw berkata, tugu itu dirobohkan oleh kakitangan Pejabat Daerah Kuala Terengganu minggu lalu kerana ia tidak diluluskan kerajaan negeri.

"Tugu itu dibina tahun lalu. Masyarakat Vietnam Seberang Laut memohon kelulusan kami, tetapi tak diluluskan," katanya kepada Bernama hari ini.

Masyarakat Vietnam itu sama ada pelarian itu sendiri, yang juga dikenali sebagai orang hanyut, atau anggota keluarga mereka diberikan perlindungan sementara di pulau itu di bawah naungan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) pada lewat tahun 1970-an hingga penghujung 1980-an, sebelum dipindahkan ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Kanada atau Australia.

Toh berkata, mereka tidak menghiraukan keputusan kerajaan negeri mengenai perkara itu dan tetap membina tugu itu.

Sebuah plak diletakkan pada tugu itu pada 23 Mac tahun ini. Ia kemudian disempurnakan oleh kumpulan ratusan masyarakat Vietnam Seberang Laut yang datang ke pulau itu untuk mengingati mereka yang terkorban ketika melarikan diri dengan bot, dari cengkaman regim komunis selepas kejatuhan Saigon pada 1975.

Peristiwa itu mendapat liputan luas media, manakala kerajaan Vietnam melahirkan rasa kurang senang dengan pembinaan tugu itu yang terpasang plak bertulis:

Bagi mengingati beratus-ratus ribu rakyat Vietnam yang terkorban ketika mencari kebebasan (1975-1996). Sekalipun mereka mati kerana kebuluran, kehausan, perkosaan, keletihan atau oleh sebab-sebab lain, kami berdoa mereka kini menikmati ketenangan abadi. Perjuangan mereka tidak akan dilupakan. (MASYARAKAT VIETNAM SEBERANG LAUT, 2005).

Vietnam telah menghantar bantahan ke Wisma Putra atas kewujudan tugu itu, manakala bekas pelarian yang kini tinggal di negara ketiga pula meminta kerajaan Malaysia tidak merobohkan tugu tersebut.

Ini termasuk rayuan daripada anggota Suruhanjaya Penasihat Presiden George Bush mengenai warga Amerika-Asia dan Kepulauan Pasifik, Derrick Nguyen juga seorang daripada ribuan pelarian yang pernah diberi perlindungan di Bidong.

Toh berkata: "Wisma Putra telah meminta kerajaan negeri mengambil tindakan (terhadap pembinaan tugu itu).

"Bagaimanapun, binaan dan struktur lain di pulau itu, termasuk sebuah plak lama yang dibina oleh pelarian sebelum mereka ditempatkan semula di negara ketiga, tidak disentuh," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri merancang memulihkan binaan dan struktur lain memandangkan ada nilai sejarah dan daya tarikan pelancong.

Dari 1978 hingga 1990 lebih daripada 245,000 orang hanyut Vietnam diberikan perlindungan di Pulau Bidong.