Seorang ahli PAS hari ini memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan Malaysia bagi menuntut perisytiharan bahawa penahanan ke atasnya pada 19 hingga 22 Julai lalu, sebagai tidak sah.

Hanafiah Mat, 45, yang beralamat di No 7832, Taman Indah Kampung Gong Pauh, Kemaman, memfailkan saman tersebut di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini kira-kira jam 9.30 pagi menerusi Tetuan Wan Abdul Muttalib & Co.

Dalam writ samannya, beliau menamakan Ketua Polis Daerah Kemaman sebagai defendan pertama manakala Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia, masing-masing sebagai defendan kedua dan ketiga.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali dalam sidang media di Kuala Terengganu berkata, pada 19 Julai lalu, Hanafiah dipanggil oleh defendan pertama ke Ibu Pejabat Polis Kemaman untuk membincangkan permohonan PAS daerah itu yang mahu mengadakan majlis forum pada 21 Julai di sebuah kawasan persendirian.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, sebaik perbincangan yang memakan masa lebih kurang 15 minit itu selesai, defendan pertama telah mengarahkan agar plaintif ditahan tanpa memberi apa-apa penjelasan.

"Plaintif membuat bantahan lisan tetapi tidak dipedulikan oleh defendan pertama dan lain-lain pegawai polis yang ada dan terlibat sama dengan penahanan itu.

"Bagaimanapun, plaintif yang juga Setiausaha PAS kawasan Kemaman, dibebaskan pada 22 Julai lalu setelah ditahan selama tiga hari. Plaintif menuntut mahkamah supaya mengeluarkan perintah bahawa penahanan ke atasnya tidak sah, salah, tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang," katanya.

Mustafa berkata, Hanafiah dalam samannya itu turut menuntut ketiga-tiga defendan membayar ganti rugi am tidak kurang RM500,000 dan ganti rugi teladan tidak kurang RM1 juta di samping ganti rugi khas yang jumlahnya akan ditentukan mahkamah.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seramai 45 penduduk Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pengkalan Merbau, Hulu Setiu telah memfailkan saman terhadap tiga defendan bagi menuntut satu perisytiharan bahawa mereka adalah pemilik yang sah ke atas lot masing-masing di tanah rancangan tersebut.

Dalam writ saman, mereka menamakan Pejabat Tanah Daerah Setiu sebagai defendan pertama, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Terengganu sebagai defendan kedua dan kerajaan Terengganu (defendan ketiga).

Tuntut pengisytihraran

Mustafa berkata, plaintif juga telah menuntut satu perisytiharan bahawa arahan PTG bertarikh 23 Mac 2004, iaitu dua hari selepas pilihanraya umum ke-11, adalah tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan ke atas mereka.

Ketiga-tiga defendan juga diarah menerima bayaran pembaharuan Lesen Menduduki Sementara (LMS) dan plaintif-plaintif diberi semula tempoh tiga tahun bagi membina dan menyiapkan rumah masing-masing dan jika perlu, diberi tempoh lanjutan munasabah mengikut amalan budi bicara yang diamalkan sebelum ini.

Mustafa berkata, kesemua plaintif adalah mereka yang berjaya dan terpilih untuk dikurniakan lot-lot perumahan dalam RTB di Pengkalan Merbau.

"Pada 23 Mac 2004, iaitu sebelum pentadbiran baru Barisan Nasional dibentuk, defendan kedua telah mengeluarkan arahan kepada semua pentadbir tanah di Terengganu supaya segala urusan berkait dengan pemberian tanah di semua peringkat dan bagi semua kategori ditawakofkan (dihentikan).

"Arahan itu termasuk tidak membenarkan defendan pertama menerima bayaran pembaharuan Lesen Menduduki Sementara (LMS), keluaran LMS atau mengeluarkan geran tanah kepada mereka yang telah layak menerimanya," katanya.

Beliau berkata, operasi besar-besaran ke atas RTB Pengkalan Merbau pada 19 Mei lalu, yang diketuai defendan pertama dengan restu defendan kedua dan ketiga, adalah satu pencerobohan ke atas hak dan kepentingan para plaintif, yang antaranya menyebabkan mereka mengalami kerugian, tekanan jiwa dan hak kebebasan sebagai rakyat yang tidak bersalah.