PRU14 | Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan tindakan Nik Omar Nik Abdul Aziz menghebahkan mimpinya bertemu arwah bapanya itu sebagai taktik politik murahan.

"Menghebahkan mimpi kononnya Almarhum Tok Guru Nik Aziz berjalan memakai t-shirt yang tertera gambar Tun Dr Mahathir Mohamad di belakangnya adalah satu tindakan tidak bijaksana yang boleh disifatkan sebagai satu taktik politik murahan untuk cuba mendapatkan sokongan pengikut Almarhum Tok Guru Nik Aziz kepada Tun Dr Mahathir Mohamad," kata pensyarah itu dalam tulisannya yang diterbitkan lidah rasmi PAS, Harakahdaily  tadi malam.

Pada 3 Mei lalu, Nik Omar mengulas mimpi presiden PAS yang dikatakan melihat Allahyarham ayahnya, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam keadaan kudung sebelah kakinya. Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi dewan undangan negeri (DUN) Chempaka itu mengulas mimpi berkenaan dengan bercerita tentang mimpi seseorang yang juga mendakwa berjumpa Allahyarham ayahnya dalam tidur.

Nik Omar, menceritakan mimpi seorang individu yang melihat Nik Aziz sedang berjalan memakai baju T.

"Dalam mimpi tu juga, dia kata ada jumpa tok guru, tengok tok guru tu, relax je dia jalan. Pakai baju t-shirt je. Cumo yg dia pelik, belakang tu ada gambar Mahathir!" kata Nik Omar sambil ketawa.

Sementara itu, Dr Kamarul Zaman dalam tulisannya mendakwa dirinya "pengkaji PAS dan pengumpul ucapan Almarhum Tok Guru Nik Aziz," itu berkata teks ucapan allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya sebahagian kecl saja memuji Dr Mahathir Mohamad.

"Saya telah berpeluang mendengar sendiri ratusan ucapan Almarhum, selain membaca pelbagai teks ucapan dan kenyataan Almarhum.

"Di mana hampir semua ucapan Almarhum memaparkan sisi negatif Tun Dr Mahathir Mohamad walaupun sebahagian kecilnya didahului oleh pujian," kata penyarah itu yang terkenal susulan kontroversi di forum Wacana Sinar Harian pada 22 Mac 2018 lalu.

Pada wacana tersebut, Tun Dr Mahathir Mohamad ditemani isterinya Tun Dr Siti Hasmah membuat kejutan hadir mengikuti program yang bertajuk "Apakah Tun M, terlalu tua untuk jadi PM?". Siri wacana itu disertai Dr Kamarul Zaman Yusoff, pakar psikologi, Prof Datuk Dr Mat Saat Mohd Baki dan Cikgu Fitness Malaysia, Kevin Zahri Abdul Ghaffar.

Beliau dikatakan 'terkedu' dengan kehadiran pengerusi HARAPAN itu, walau pun menafikan sebaliknya.

Dr Kamaruzaman selanjutnya membidas Dr Mahathir dalam tulisannya.

"Bolehkah sesiapa sahaja tunjukkan bukti apakah sekarang ini Tun Dr Mahathir Mohamad telah tidak lagi “salah gunakan nikmat (kecerdikan beliau) untuk Sekular, tidak untuk Islam” dan apakah sekarang ini beliau sudah “Terima Quran Hadis sampai akhir” yang membolehkan Almarhum Tok Guru Nik Aziz menerima beliau kalau Almarhum masih ada?

"Malah, sepanjang penelitian saya, tahap ke-Sekularan Tun Dr Mahathir Mohamad semakin teruk dan tahap “Tidak terima Quran Hadis sampai akhir” beliau semakin kuat," katanya dalam tulisan berjudul, "Tak akan menang dengan jual nama Tok Guru Nik Aziz," diterbitkan Harakahdaily.